Buletin
Ghaz Abu Bakar tampilkan sisi berbeza Zizan Razak dalam "Kerusi Kecil"


Tarikh disiarkan: 10 September 2019


Ghaz Abu Bakar beri kebebasan kepada Zizan untuk pilih gandingannya dalam "Kerusi Kecil".

10 Sep – Pengarah tersohor tanah air, Ghaz Abu Bakar memberitahu dia bakal muncul dengan sebuah telefilem terbarunya berjudul "Kerusi Kecil" yang mana ia akan menampilkan Zizan Razak sebagai peneraju.

Menurut Ghaz, dia tertarik untuk menerima tawaran untuk menggarap naskhah itu kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang dekat dengan masyarakat, malah turut memaparkan keindahan pulau dan tarikan tempat menarik di Terengganu.

Pengarah "Polis Evo" itu juga mendedahkan yang penonton bakal disajikan dengan sisi berbeza Zizan dalam telefilem ini.

"Sebaik membaca skrip telefilem ini, saya sudah tahu Zizan pelakon yang tepat untuk melakonkan watak utamanya. Mungkin peminat sudah sinonim dengan lakonan dalam filem "Polis Evo", tetapi saya tampilkan sisi berbeza dari aspek kemanusiaan dalam telefilem ini.

"Berjaya atau tidak, peminat melihat sisi lain Zizan dalam telefilem ini dan ia bergantung pada hasil lakonannya nanti," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.


Tambah Ghaz lagi, dia turut memberi peluang kepada Zizan untuk memilih gandingannya dan dia telah memilih Bella Astillah, yang juga mendapat persetujuan daripada pihak produksi.

"Kerusi Kecil" berkisarkan mengenai semangat setia kawan dalam persahabatan serta perpaduan membabitkan perbezaan kaum dalam kalangan masyarakat.

Selain Zizan dan Bella, telefilem terbitan Aditsha Productions ini turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Bell Ngasri, Wan Hanafi Su, Tisha Shamsir, Raykarl Iskandar, Qistina Raisha, Nik Adam Mika, Asri Ismail, Alvin Wong dan Jessy Lim.

(Sumber foto: Ghaz Abu Bakar Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)