Buletin
Gina S. Noer jadikan Yasmin Ahmad sebagai inspirasi "Dua Garis Biru"


Tarikh disiarkan: 26 September 2019

Gina S. Noer mula meminati Yasmin Ahmad sejak menonton filem "Sepet".
Gina S. Noer mula meminati Yasmin Ahmad sejak menonton filem "Sepet".

26 Sep – Pengarah dan penerbit Indonesia, Gina S. Noer, memberitahu bahawa dia menjadikan karya-karya pembikin filem terkenal tempatan, Allahyarham Yasmin Ahmad, sebagai inspirasi besar dalam penghasilan filem-filemnya.

"Saya mula meminati Yasmin Ahmad sejak saya menonton filem "Sepet" pada tahun 2005. Sejak itu, saya menonton semua filem dan iklan yang dihasilkannya. Selain itu, saya juga banyak membaca artikel temubual mengenainya.

"Yasmin Ahmad adalah seorang pembikin filem yang sangat menghargai watak-watak dalam filemnya. Bukan hanya watak utama, malah termasuk juga watak-watak sampingan.

"Jadi itu yang membuat saya kagum dengan karyanya," ujar Gina yang ditemui di malam gala tayangan perdana filem "Dua Garis Biru" di TGV 1 Utama, Petaling Jaya, semalam.


Jika sebelumnya dia hanya menulis skrip bagi filem yang diarahkan oleh orang lain, kini buat julung kalinya dia diangkat sebagai pengarah bagi filem terbarunya, "Dua Garis Biru", selepas 10 tahun berada dalam industri.

"Jika ditanya, saya mendapat inspirasi daripada Yasmin Ahmad bukan hanya untuk filem ini sahaja, tetapi semua filem-filem yang saya tulis. Namun, saya banyak mengambil elemen keagamaan dan kekeluargaan yang banyak ditunjukkan dalam filem Yasmin dan dibawa ke dalam filem ini.

Menurut Gina, filem "Dua Garis Biru" merupakan satu medium untuk mendidik masyarakat, terutamanya golongan muda, mengenai isu kehamilan di luar nikah dengan diselitkan elemen kekeluargaan, keagamaan, drama serta komedi.

"Pada pendapat saya, penting untuk setiap negara mempunyai filem seperti ini kerana ia dapat menyampaikan mesej-mesej positif dan menjadi refleksi terhadap kehidupan kita.

"Itulah fungsi sesebuah filem dan satu usaha saya sebagai seorang Muslim untuk membuka mata dan minda masyarakat," tambahnya lagi.

Selain itu, Gina mendedahkan filem itu pada awalnya berdurasi selama tiga jam sebelum disunting namun tiada adegan-adegan penting yang dipotong supaya penonton dapat memahami jalan cerita tersebut.

"Dua Garis Biru" dibintangi oleh dua pelakon muda Indonesia, Angga Yunanda dan Zara JKT48, yang memegang watak utama sebagai Bima dan Dara yang masih bersekolah tinggi. Namun, kehidupan mereka berubah apabila kesilapan mereka menyebabkan Dara hamil anak luar nikah.

Akibatnya, mereka perlu berdepan pelbagai dugaan dan ujian sebagai pasangan suami isteri muda serta konflik yang tercetus di antara kedua-dua belah keluarga.

Filem itu telah ditayangkan di Indonesia pada 11 Julai lalu dan akan ditayangkan di Malaysia bermula 3 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Dua Garis Biru (Indonesia) (3 Oktober 2019)





Ticket Pricing Guide