Buletin
Hafidz Roshdi dedah cabaran utama berlakon filem "Pusaka"


Tarikh disiarkan: 22 Oktober 2019

Hafidz Roshdi tidak meletakkan had terhadap kariernya sebagai pelakon.
Hafidz Roshdi tidak meletakkan had terhadap kariernya sebagai pelakon.

22 Okt– Jika sebelum ini hanya berpeluang menjadi hero drama di kaca televisyen, kini pelakon Hafidz Roshdi mengorak langkah ke layar lebar apabila tampil dalam filem seram debutnya berjudul "Pusaka".

Menerusi filem arahan Razaisyam Rashid itu, Hafidz diberi tanggungjawab untuk menggalas watak seorang anggota polis bernama Sarjan Luqman.

Menurut Hafidz, cabaran utamanya untuk menjayakan watak tersebut adalah dia perlu menghafal ayat-ayat suci Al-Quran kerana filem itu turut diselitkan dengan elemen-elemen keagamaan.

"Sepanjang berlakon dalam drama, saya tidak pernah mendapat skrip yang melibatkan ayat-ayat Al-Quran jadi filem dan watak ini merupakan cabaran utama serta satu pengalaman yang baru bagi saya.

"Saya tidak buat rujukan tetapi saya banyak bertanya kepada tiga orang rakan saya, PU Rizz, Da'i Zaid dan Ustaz Adli. Mereka yang memberi nasihat serta meyakinkan saya untuk baca dan hafal ayat-ayat Al-Quran tersebut.


"Walaupun gementar pada mulanya tetapi Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar dan saya harap penonton dapat menerima lakonan saya," ujarnya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Pusaka" yang diadakan di MBO The Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Selain tertarik dengan skrip dan jalan ceritanya yang menarik, Hafidz berkata penglibatannya dalam filem "Pusaka" sekaligus membuka peluang baru untuk dirinya menerokai dunia filem seram dengan lebih jauh.

Filem itu juga menandakan gandingan pertamanya bersama pelakon Syafiq Kyle, yang memegang watak sebagai Inspektor Nuar Ishak, walaupun sebelumnya mereka pernah bertanding dalam program Hero Remaja 2011/12.

"Pada mulanya kami hilang tumpuan, namun lama-kelamaan kami selalu bertukar pendapat dan berbincang sesama sendiri jadi perkara itu membuatkan saya mudah untuk bekerja dengannya," tambahnya lagi.

"Pusaka" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Sweet Qismina, Aleza Shadan, Yuna Rahim dan ramai lagi. Ia akan menghantui pawagam bermula 31 Oktober ini.

Beralih ke perkembangan lain, Hafidz akan tampil dalam sebuah drama bersiri yang akan disiarkan di slot Samarinda TV3 berjudul "Kamelia" bersama Diana Danielle dan Ain Edruce.

Selain itu, dia juga bakal membintangi sebuah filem baru berjudul "Patriot" yang turut menampilkan Sharnaaz Ahmad dan Elizabeth Tan.

(Sumber foto: Hafidz Roshdi Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Pusaka (Melayu) (31 Oktober 2019)





Ticket Pricing Guide