Buletin
Hairul Azreen tetap jayakan babak terjun bangunan walaupun cedera


Tarikh disiarkan: 8 Mei 2019


Hairul Azreen akui berasa sangat puas dapat jayakan babak aksi paling sukar pernah dibuatnya.

8 Mei – Pelakon Hairul Azreen memberitahu dia tetap meneruskan penggambaran untuk menjayakan babak pertarungan dan terjun dari bangunan tinggi dalam filem terbarunya "Wira" walaupun mengalami kecederaan ligament kaki terkoyak.

Menurut Hairul atau nama sebenarnya Hairul Azreen Idris, walaupun doktor memintanya untuk berehat dan menjalani rawatan pemulihan namun dia tetap mahu teruskan juga penggambaran.

"Doktor beritahu saya perlu kira-kira lapan minggu untuk pulih sepenuhnya dan pengarah (Adrian Teh) juga sanggup menangguhkan sementara penggambaran untuk beri masa saya berehat, tetapi saya tidak mahu susahkan semua pihak atas kecederaan saya.

"Jadi saya ambil keputusan untuk meneruskan juga. Untuk jayakan babak itu, saya makan ubat penahan sakit, balut kaki dan teruskan penggambaran. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," ujarnya yang ditemui di lokasi penggambaran "Wira" di Sentul Depot, semalam.


Tambah pelakon itu lagi, dia berasa cukup puas selepas berjaya menyiapkan babak aksi tersebut yang disifatkan sebagai babak paling sukar pernah dihasilkan.

Dalam filem arahan Adrian Teh itu Hairul akan membawa watak sebagai Hassan iaitu seorang bekas tentera perlu menyelamatkan keluarganya yang berdepan ancaman daripada Raja.

Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem ini, Hairul berkata watak sebagai Hassan cukup berbeza dari watak Arman dalam filem pecah panggungnya "Paskal The Movie" kerana kali ini dia bebas untuk memberi lebih ekspresi.

Sementara itu, Hairul menyuarakan keyakinan terhadap filem yang ini yang bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang bagus, tetapi juga mempunyai babak aksi yang cukup hebat hasil dari latihan bersama pelakon aksi tersohor Indonesia iaitu Yayan Ruhian yang cukup terkenal dengan filem aksi seperti "The Raid: Berandal", "Merantau", "Beyond Skyline", "Star Wars Episode VII: The Force Awakens" dan banyak lagi.

Selain Hairul, "Wira" turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Dain Said, Henley Hii, Ismi Melinda, Josiah Hogan, Dato' Hilal Azman, Fify Azmi dan ramai lagi.

Filem ini dijangka akan menemui penonton pada hujung tahun ini.

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide