Buletin
Hans Isaac tak kisah dikritik penggiat seni


Tarikh disiarkan: 29 November 2019

Hans Isaac harap penggiat seni dapat berinya masa untuk selesai satu persatu isu.
Hans Isaac harap penggiat seni dapat berinya masa untuk selesai satu persatu isu.

29 Nov – Sejak diberi tanggungjawab besar untuk menggalas jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac berdepan dengan pelbagai cabaran termasuklah dikritik hebat oleh penggiat seni.

Kepimpinan Hans dipersoal apabila dikatakan hanya mengumumkan mengenai perkara kecil yang hanya memberi manfaat kepada kelompok tertentu sahaja berbanding melihat isu industri dalam konteks luas.

Hans bagaimanapun tidak cepat melatah, sebaliknya berkata dia memahami apa yang dimahukan oleh penggiat seni kerana dia sendiri merupakan anak seni tetapi menjelaskan bahawa setiap isu atau masalah perlukan masa mengikut situasi.

"Banyak benda kita tak boleh buat dalam tempoh satu malam. Adakah isu mekap tidak penting? Kami memang ada berpuluh isu besar seperti dana perfileman, hak cipta, rebat cukai, kadar bayaran drama dan banyak lagi.


"Tetapi perkara besar ambil masa panjang. Macam isu mekap, mungkin orang nampak hanya beri manfaat kepada golongan itu sahaja. Kita selesaikan satu persatu. Selepas ini, siapa tahu ada perkara lain untuk kelompok pengarah dan penerbit pula. Begitu juga dengan pekerja seni lain," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Pengerusi FINAS menjadi topik hangat oleh penggiat seni selepas dia mengumumkan bermula Januari 2020 semua stesen penyiara tidak akan membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua.

Syarat baru tersebut adalah bagi menjaga hak dan kebajikan pelakon veteran yang semakin dipinggirkan sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Hans turut berkata pihaknya juga dalam usaha untuk menyelesaikan banyak isu besar yang memerlukan tempoh yang lama untuk diselesaikan.

Oleh itu, Hans meminta penggiat seni memberi kerjasama dan kepercayaan kepada pihak menyelesaikan satu persatu isu.

(Sumber foto: Hans Isaac Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
J Revolusi (Melayu) (2 Mac 2017)
Lemak Kampung Santan (Melayu) (8 Ogos 2013)
Nota (Melayu) (13 Ogos 2015)





Ticket Pricing Guide