Buletin
Helmi Yusof cuba bawa kelainan dalam "Anak Perjanjian Syaitan"


Tarikh disiarkan: 17 Oktober 2019

Helmi Yusof berasa puas hati dengan filem seram pertamanya.
Helmi Yusof berasa puas hati dengan filem seram pertamanya.

17 Okt – Buat julung kalinya, pengarah filem aksi komedi "Bikers Kental", Helmi Yusof, tampil menghasilkan naskhah seram pertamanya berjudul "Anak Perjanjian Syaitan".

Disoal mengenai cabaran yang dihadapi untuk mengarah filem yang berbeza genre daripada filem-filem sebelumnya, Helmi memberitahu dia perlu melakukan banyak penyelidikan sebagai persiapan.

"Sebelum ini saya hanya memfokuskan genre aksi dan komedi. Jadi untuk menghasilkan filem seram pertama ini, saya banyak membuat rujukan dengan menonton filem-filem seram tempatan dan antarabangsa.

"Walaupun saya banyak membuat rujukan filem-filem lain, namun saya ingin menghasilkan sesuatu yang baru supaya tampak kelainan dalam filem ini. Memandangkan terlalu banyak filem-filem seram yang ada, jadi ia agak sukar untuk mencari kelainan.

"Jadi saya cuba menggabungkan tema seram bersama konflik rumah tangga dan banyak bermain dengan 'plot twist'," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media malam gala tayangan perdana filem "Anak Perjanjian Syaitan" di mmCineplexes eCurve, Damansara, semalam.


Dalam pada itu, Helmi turut berasa puas hati dengan pemilihan gandingan dua peneraju utama filem iaitu Nadzmi Adhwa dan Cha Cha Maembong.

"Sebenarnya pemilihan ini turut dibuat oleh pihak penerbit dan saya merasakan ia satu gandingan baru yang bagus. Nadzmi, Cha Cha dan pelakon-pelakon lain juga berjaya menjiwai watak mereka dengan baik," tambahnya lagi.


Pengarah Helmi Yusof bersama barisan pelakon yang hadir di malam gala tayangan perdana
"Anak Perjanjian Syaitan" di mmCineplexes eCurve, Damansara.

Menurut Helmi, walaupun filem itu mengandungi banyak babak-babak mengerikan, namun ia tidak terlalu ganas serta mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Selain itu, pihak produksi turut mendapatkan khidmat dan nasihat daripada sebuah studio kesan visual bagi menyunting serta membaikpulih lagi teknik CGI yang digunakan dalam filem tersebut.

Filem "Anak Perjanjian Syaitan" berkisar mengenai pasangan Zaidy dan Azlinda yang sudah tujuh tahun berkahwin tetapi tidak dikurniakan zuriat. Selepas mereka berpindah ke rumah pusaka di kampung kelahiran bapanya, Azlinda sering diganggu kejadian-kejadian aneh hingga menyebabkan dia berasa tertekan.

Gangguan itu berlarutan walaupun selepas Azlinda disahkan hamil, yang mana dia mengalami mimpi-mimpi ngeri dan perutnya membesar secara luar biasa. Sehingga suatu hari dia berlari keluar dari rumah itu dan hampir dilanggar jirannya yang misteri.

"Anak Perjanjian Syaitan" turut dibintangi oleh barisan pelakon lain seperti Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor dan Azlan Komeng. Ia bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 24 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide