Buletin
"Hero: Jangan Bikin Panas" penuh maksud tersirat tapi menghiburkan


Tarikh disiarkan: 26 September 2019

Pengarah Azizi Hj Adnan bersama penerbit Darling Ngasri dan barisan pelakon "Hero: Jangan Bikin Panas".
Pengarah Azizi Hj Adnan bersama penerbit Darling Ngasri dan barisan pelakon
"Hero: Jangan Bikin Panas".

26 Sep – Selepas hampir sedekad tidak muncul dengan sebarang filem, pengarah berbakat besar Azizi Hj Adnan kembali dengan filem aksi komedi terbaru berjudul "Hero: Jangan Bikin Panas" yang berkisarkan mengenai anggota pasukan Bomba dan Penyelamat (BOMBA).

Menurut Azizi, filem ini mengangkat mesej keagamaan tetapi beberapa elemen seperti aksi dan komedi disuntik bagi menjadikan plot cerita menarik dan menghiburkan.

Pada masa sama, dia bersetuju untuk mengarah filem bertemakan bomba kerana banyak kes-kes yang dihadapi oleh anggota unit beruniform itu.

"Suudah banyak berlaku insiden yang membabitkan anggota bomba. Jadi, ia telah memberi saya idea untuk melahirkan sebuah cerita tentang anggota bomba yang turut diselitkan elemen babak aksi, komedi serta dakwah.


"Pada saya sudah sampai satu tahap di mana saya ingin membuat filem yang bukan bersandarkan hiburan dan duit semata-mata, sebaliknya menghasilkan sebuah cerita yang terdapat pengajaran dan dakwah," ujarnya yang ditemui pada malam gala "Hero: Jangan Bikin Panas" yang berlansung di mmCineplexes eCurve semalam.

Tambah pengarah itu lagi, dia berasa sangat berpuas hati dengan keseluruhan filem itu termasuklah lakonan setiap pelakon.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd ini dibintangi oleh barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Hisyam Hamid, Bell Ngasri, Mark Adam, Elisya Sandha, Datuk Jalaluddin Hassan, Shahrudin Thamby dan ramai lagi.

Naskhah ini berkisarkan mengenai tiga sahabat yang merupakan anggota bomba cuba menyelesaikan satu konspirasi jahat satu organisasi yang melakukan sabotaj terhadap pusat tahfiz kerana mahu merampas tanah tersebut secara haram untuk pembangunan.

"Hero: Jangan Bikin Panas" bakal menemui penonton di seluruh negara bermula pada 3 Oktober ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide