Buletin
Hrithik Roshan belajar loghat Bihari demi "Super 30"


Tarikh disiarkan: 20 Julai 2019


Selain berlatih Bihari, Hrithik Roshan juga perlu membina badan untuk filem "Super 30".

20 Jul – Aktor Hrithik Roshan dilihat telah mengubah sepenuh penampilannya bagi menjayakan watak dalam filem "Super 30" yang baru dirilis di pawagam pada 11 Julai lalu.

Dalam pada itu, Hrithik turut mendedahkan bahawa dia perlu mempelajari loghat Bihari menerusi sebuah video balik tabir yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

Bagi memahirkan loghat tersebut, dia perlu berlatih sekurang-kurangnya dua jam sehari. Dalam salah satu latihan, dia turut menyanyikan lagu popular Bhojpuri berjudul "Lollipop Lagelu".

"Saya sudah jatuh cinta dengan loghat Bihari dan ia satu perjalanan yang panjang. Saya berlatih Bihari selama dua ke tiga jam setiap hari.

"Saya juga perlu mengeluarkan kata-kata kesat sebagai latihan bagi membantu memperbaiki 'chord' suara serta merenggangkan otot pipi, lidah dan segala otot yang digunakan ketika bercakap," jelasnya dalam video tersebut.


Menurut laporan dari India Today, Hrithik perlu menjalani latihan kecergasan bagi membina badan supaya kelihatan tegap dan berotot sebagai persiapan filem itu.

"Super 30" menceritakan kisah seorang ahli Matematik dari Patna bernama Anand Kumar yang menubuhkan program pendidikan di mana 30 orang pelajar tidak berkemampuan dipilih dan dilatih untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke Institut Teknologi India (IIT).

Baru-baru ini, Hrithik telah memberi penghargaan kepada Ketua Menteri Nitish Kumar dan Timbalan Ketua Menteri Sushil Modi kerana telah mengisytiharkan "Super 30" sebagai filem bebas cukai.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: GQ India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide