Buletin
Indonesia lancarkan alam sinematik adiwira, Bumilangit (BCU)


Tarikh disiarkan: 20 Ogos 2019


Antara karakter adiwira dan antihero yang diperkenalkan oleh alam sinematik Bumilangit.

20 Ogos – Jika industri Hollywood dikenali dengan alam sinematik Marvel (MCU), kini negara seberang Indonesia bakal menggegarkan industri filem mereka dengan adiwira dari alam sinematik sendiri iaitu Bumilangit (BCU).

Sehubungan dengan itu, pembikin filem Joko Anwar telah memperkenalkan barisan pelakon utama bagi filem-filem fasa pertama alam sinematik itu yang juga dikenali sebagai Jagat Sinema Bumilangit Jilid 1.

"Jagat Sinema Bumilangit akan menceritakan beberapa karakter pada tahun 1960. Jagat Sinema Bumilangit fasa pertama ini terdiri dari era Jawara sampai era Patriot dan "Gundala" adalah salah satu era Patriot," jelas Joko Anwar menerusi laporan dari gempak.com.


Pada 24 Januari lalu, syarikat produksi Bumilangit Studios telah mengumumkan garis masa semua filem adiwira yang bakal ditayangkan bermula tahun ini sehingga tahun 2023.

"Kami akan mengangkat cerita dari medium dan dekad yang berbeza supaya ia bersesuaian dengan penonton masa kini dan kami telahpun mempunyai garis masa utama untuk watak-watak lain dalam filem kami," ujar Pengurus Produksi Bumilangit Studios, Imansyah Lubis yang dipetik dari CNN Indonesia.

Antara barisan adiwira yang ditampilkan dalam filem solo mereka ialah Gundala, Sri Asih, Maza, Godam, Aquanus, Tira, Si Buta dari Gua Hantu, dan Mandala.

Jika dilihat di laman web rasmi Bumilangit, mereka telah mengasingkan beberapa orang adiwira ke tiga buah era iaitu Jawara (Si Buta Dari Gua Hantu, Mandala, Selendang Biru, Bidadari Mata Elang, Selendang Mayang), Patriot (Gundala, Godam, Tira, Merpati) dan Satria Nusantara (Sri Asih, Nusantara, Maza, Aquanus, Siti Gahara).

Filem pertama yang bakal dirilis menerusi alam sinematik Bumilangit adalah "Gundala" (Putra Petir) yang diangkat dari karakter siri komik karya Harya "Hasmi" Suraminata pada tahun 1969.

Watak Gundala dan Sancaka dibintangi oleh Abimana Aryasatya dan pelakon tempatan, Bront Palarae, telah dipilih untuk menggalas watak antihero bernama Pengkor dalam filem tersebut.

Filem hasil kerjasama syarikat produksi Bumilangit Studios dan Screenplay Films itu juga akan membuat debut tayangan antarabangsa apabila ia bakal ditayangkan di acara berprestij Festival Filem Antarabangsa Toronto (FFAT) 2019 akan datang.

(Sumber foto: Joko Anwar Twitter)

Penulis: Nisa Irina