Buletin
Ira Khan jadi pengarah pementasan teater "Medea"


Tarikh disiarkan: 19 September 2019


Ira Khan memberi tawaran kepada Hazel Keech bagi menggalas watak
utama dalam pementasan teater arahannya.

19 Sep – Ira Khan bakal duduk di bangku pengarah buat pertama kalinya selepas dia mengumumkan berita mengenai pementasan teater sulungnya berjudul "Medea".

Seperti yang dilaporkan oleh Mid-Day, pementasan itu diadaptasi dari kisah mitos purba Greek mengenai Medea, puteri kepada Raja Aeëtes, berdasarkan tragedi Euripides.

Baru-baru ini, anak perempuan kepada bintang Bollywood Aamir Khan itu telah berkongsikan poster rasmi bagi pementasan teater tersebut menerusi laman Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Ira telah pun menemui calon yang sesuai untuk menggalas watak utama dalam pementasannya iaitu aktres Hazel Keech, yang pernah membintangi filem "Bodyguard" 2011 bersama Salman Khan.

"Ia merupakan satu pengalaman yang menarik dapat bekerja dengan Hazel sebagai seorang rakan, tetapi yang paling penting, sebagai seorang aktor.


"Saya tidak sabar menantikan apa yang bakal kami hasilkan nanti," ujar Ira menerusi kapsyen gambar mereka yang dimuat naik di Instagram.

Pada mulanya, Ira telah menawarkan watak utama itu kepada aktres veteran Sarika Thakur, namun dia tidak bersetuju. Sebaliknya, dia menawarkan diri untuk menerbitkan pementasan tersebut kerana menganggap Ira seperti anaknya sendiri.

"Jika dia mahu saya untuk terlibat dengan pementasan ini, sudah tentu saya akan bersetuju. Selain itu, saya tertarik dengan visinya dan berasa yakin terhadap kepekaannya sebagai pengarah," ujar Sarika.

Terbaru, Ira telah memuat naik sebuah rakaman video menerusi laman Instagram rasmi Medea The Play, di mana dia telah memperkenalkan barisan pelakon lain bagi pementasan itu, termasuk abangnya, Junaid Khan.

(Sumber foto: Grazia India)
(Sumber artikel: Mid-Day)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide