Buletin
Ira Khan makin selesa mengarah pementasan teater


Tarikh disiarkan: 16 November 2019

Ira Khan mengakui kekurangannya dalam bidang lakonan.
Ira Khan mengakui kekurangannya dalam bidang lakonan.

16 Nov – Anak kepada aktor Bollywood terkenal Aamir Khan, Ira Khan, memberitahu bahawa dia semakin selesa bekerja di sebalik tabir sebagai pengarah bagi pementasan teater.

Sebelum ini, Ira dilaporkan bakal duduk di bangku pengarah buat pertama kalinya selepas dia mengumumkan berita mengenai pementasan teater sulungnya berjudul "Medea".

"Banyak perkara yang ingin saya lakukan dalam hidup saya. Saya ingin mengarah lebih banyak pementasan teater dan projek lain. Walaupun sudah tamat pengajian, saya masih ingin belajar.

"Terdapat beberapa projek yang telah saya beri persetujuan namun saya tidak mampu menjayakan semuanya sekali. Jadi jika ada perkembangan baru, saya akan umumkan," katanya yang dipetik dari News18.

Dalam pada itu, Ira turut mengakui dia tidak handal berlakon seperti bapanya yang pernah membintangi filem seperti "Dangal", "PK", "3 Idiots", "Dhoom 3" dan "Ishq".


Menurut Ira, dia mempunyai perwatakan yang pemalu dan mudah risau namun akan memperbaiki kelemahan tersebut dari semasa ke semasa.

"Saya boleh belajar berlakon jika saya mahu tetapi buat masa ini terlalu banyak perkara lain yang perlu saya beri perhatian, jadi saya tidak punya masa," tambahnya lagi.

Pementasan teater "Medea" diadaptasi dari kisah mitos purba Greek mengenai Medea, puteri kepada Raja Aeëtes, berdasarkan tragedi Euripides.

Turut menampilkan anak lelaki Aamir, Junaid Khan dan Hazel Keech, pementasan itu akan diadakan di Mumbai dan Bengaluru. Jika ia berjalan lancar, Ira bercadang untuk meneruskannya di beberapa buah bandar lain.

(Sumber foto: Ira Khan Instagram)
(Sumber artikel: News18)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide