Buletin
Jaideep Ahlawat dipilih jadi antagonis filem "Khaali Peeli"


Tarikh disiarkan: 12 September 2019


Jaideep Ahlawat akui melakonkan watak antagonis filem Hindi adalah sukar.

12 Sep – Jaideep Ahlawat merupakan aktor pilihan pembikin filem "Khaali Peeli" untuk menerajui watak antagonis bagi filem arahan Maqbool Khan tersebut.

Melihat lakonannya yang mantap, penolong penerbit Ali Abbas Zafar berpendapat Jaideep adalah pelakon yang paling sesuai untuk menjayakan watak penjahat India tradisional.

Jaideep dikenali menerusi filem-filem seperti "Raazi", "Gangs of Wasseypur", "Raees" serta drama bersiri "Lust Stories" yang disiarkan di platform penstriman video terkenal Netflix.

"Melakonkan watak antagonis filem Hindi adalah sesuatu yang mencabar dan berbeza dengan apa yang saya lakukan selama ini. Saya harap saya dapat menjayakan watak seperti mana ditulis dalam skrip.


"Saya teruja untuk bekerjasama dengan para pelakon muda yang berbakat dalam filem ini," katanya yang dipetik dari laporan India Today.

Sebelumnya, pembikin filem telah mengumumkan bahawa aktor dan aktres muda, Ishaan Khatter dan Ananya Panday diangkat sebagai peneraju utama filem aksi romantik tersebut.

"Khaali Peeli" berkisar mengenai seorang lelaki dan wanita muda bertemu buat kali pertama pada suatu malam dan pertemuan itu telah mengubah kehidupan mereka. Penggambaran filem itu bermula pada 11 September ini.

Dalam perkembangan lain, Jaideep akan membintangi sebuah lagi siri drama Netflix berjudul "Bard of Blood" arahan Ribhu Dasgupta.

Ia merupakan sebuah siri thriller perisikan India berdasarkan novel hasil nukilan Bilal Siddiqi yang sama judul. Selain Jaideep, ia turut dibintangi pelakon lain seperti Kirti Kulhari dan Vineet Kumar Singh.

(Sumber foto: Jaideep Ahlawat Instagram)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina