Buletin
John Abraham hadapi kekangan terbit filem mengetengahkan wanita


Tarikh disiarkan: 8 November 2019

John Abraham anggap platform digital sebagai peluang baru buat pembikin filem dan aktor.
John Abraham anggap platform digital sebagai peluang baru buat pembikin filem dan aktor.

8 Nov – Aktor dan penerbit John Abraham mendedahkan bahawa dia ingin membuat debut dalam menerbitkan dua buah siri web yang diinspirasikan dari sebuah novel terlaris.

"Saya sedang menghasilkan dua siri web yang memakan masa dua tahun. Ia memerlukan lebih banyak masa lagi.

"Kami telah mendapatkan kelulusan hak cipta bagi sebuah novel terlaris, bagi saya ia adalah novel yang menarik. Saya tidak boleh mendedahkan judulnya lagi. Ia sangat bagus tetapi saya tak akan membintanginya," ujarnya yang dipetik menerusi laporan News Nation.

Walau bagaimanapun, John mengaku dia sedang berdepan kesukaran mencari studio produksi untuk membiayai kedua-dua projek tersebut memandangkan ia adalah siri yang mengetengahkan wanita. "Namun untuk meyakinkan sebuah studio yang saya ingin menjual projek ini dan menjadikan ia suatu kenyataan memerlukan usaha yang tinggi," tambahnya lagi.


Menurut John, dia memilih untuk menerbitkan siri web kerana mendapati kini penonton lebih gemar menonton filem yang ada dalam platform digital berbanding di pawagam.

Aktor berusia 46 tahun itu turut menyifatkan platform digital sebagai pintu peluang baru bagi para pengarah, aktor serta penonton kerana ia mengubah sudut pandang terhadap filem dan siri.

Dalam perkembangan lain, John sedang menjalani penggambaran bagi filem aksi "Mumbai Saga" dan sedang mempromosikan filem "Pagalpanti" yang akan dirilis pada 22 November ini.

Selain itu, dia juga akan membintangi dua buah filem baru iaitu "Satyameva Jayate 2" serta francais filemnya "Attack" yang kini dalam proses pra produksi.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: News Nation)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide