Buletin
Johan teruja dapat bintangi teater "Melayu-Pawana Isabella"


Tarikh disiarkan: 21 Ogos 2019


Johan tiada masalah untuk berlakon dengan isterinya iaitu Ozlynn.

21 Ogos – Pelakon, pelawak, pengacara dan penyampai radio popular Johan teruja dan tidak lepaskan peluang apabila mendapat tawaran untuk menjayakan pementasan teater "Melayu-Pawana Isabella" yang diarahkan oleh Erma Fatima.

Menurut Johan, selain teruja dapat bekerja dengan pengarah hebat tanah air, dia juga mahu mencabar diri sekaligus mahu dikenali sebagai anak seni serba boleh.

"Selain pelawak dan pelakon, saya juga dikenali sebagai pengacara dan penyampai radio ERA FM. Saya terima tawaran Kak Erma kerana mahu menyahut cabaran beraksi dalam teater bangsawan moden pula.

"Saya terima tawaran ini selepas banyak kali dipujuk oleh Erma dan dia juga mempelawa isteri saya, Ozlynn untuk turut serta," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.


Bercerita lanjut mengenai wataknya sebagai tukang tilik dalam teater ini, pelakon "Uncle Usin" berkata dia akan tampil dengan sisi berbeza dari lakonannya sebelum ini.

Malah Johan yang terkenal sering melontarkan dialog secara spontan tidak dapat berbuat demikian kerana dia perlu menghafal dan melontarkan dialog mengikut skrip yang sudah ditetapkan.

Selain Johan dan isteri, teater ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Janna Nick, Datuk Afdlin Shauki, Azar Azmi dan ramai lagi.

Teater "Melayu-Pawana Isabella" ini akan mula dipentaskan bermula 21 hingga 31 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

(Sumber foto: Johan Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Uncle Usin (Melayu) (19 April 2012)
Papadom 2 (Melayu) (12 Disember 2013)
Wheely (Melayu) (16 Ogos 2018)