Buletin
John Abraham bakal beraksi dalam filem "Attack"


Tarikh disiarkan: 16 Julai 2019


John Abraham ingin terbit filem-filem yang mengandungi mesej penting buat penonton.

16 Jul – Bintang filem aksi John Abraham teruja berkongsikan butiran mengenai filem terbaru yang bakal diterajuinya berjudul "Attack".

Menerusi laman sosial Instagram, John yang juga selaku penerbit, telah memuat naik foto di mana kelihatan dia sedang mengacu senjata dalam 'teaser' filem tersebut.

Diinspirasi berdasarkan kisah benar, filem aksi thriller itu berkisar mengenai krisis tebusan. Ia diterbitkan di bawah syarikat produksi John iaitu JA Entertainment bersama Dheeraj Wadhawan dan Ajay Kapoor.

Seperti yang dilaporkan dalam Gulf News, sebelum ini para penerbit tersebut pernah berkolaborasi bersama John menerusi filem "Parmanu" dan "Romeo Akbar Walter" yang ditayangkan pada April lalu.


"Di JA Entertainment, kami percaya bahawa pentingnya isi kandungan filem. Ia merupakan usaha kami untuk menerbitkan filem-filem yang menghiburkan serta mempunyai mesej penting untuk disampaikan kepada para penonton.

""Attack" adalah sebuah thriller menarik dengan jalan cerita hebat serta genre yang saya gemari! Saya sangat berbesar hati kerana Dheeraj dan Ajay terlibat dengan projek ini," ujar John.

Dalam pada itu, John turut mendedahkan bahawa penggambaran akan dimulakan pada Disember tahun ini di bawah arahan Lakshya Raj Anand.

Mengikuti perkembangan terbaru, aktor itu kini sibuk mempromosikan filem aksi lakonannya berjudul "Batla House" yang akan ditayangkan pada 15 Ogos depan.

(Sumber artikel: Gulf News)

(Sumber foto: GQ India)

Penulis: Nisa Irina