Buletin
John Abraham kembali ke set penggambaran "Pagalpanti"


Tarikh disiarkan: 21 Jun 2019


John Abraham yang mengalami kecederaan otot kini semakin pulih.

21 Jun – John Abraham bersedia untuk kembali ke set penggambaran "Pagalpanti" selepas kecederaan yang dialaminya pada Mei lalu dilaporkan semakin pulih.

Menurut laporan yang dipetik dari MumbaiMirror, John akan meneruskan jadual penggambaran selama 15 hari bagi babak-babak terakhir filem pada 30 Jun ini.

Sebelumnya, John ditimpa kemalangan ketika melakukan aksi lagak ngeri dalam sebuah trak menyebabkan otot lengannya koyak.

"John semakin pulih dan akan memulakan latihan bagi babak-babak aksi bersama pakar aksi lagak ngeri yang telah dirancang semasa John dalam tempoh pemulihan.

"Kumpulan produksi akan menjalankan penggambaran di serata Mumbai termasuk satu babak lagu yang turut dijadualkan," jelas satu sumber terdekat.

Kesemua pelakon termasuk John, Ileana D'cruz, Anil Kapoor, Kriti Kharbanda, Pulkit Samrat dan Arshad Warsi akan terlibat dengan penggambaran itu.


Tambah sumber itu lagi, pengarah Anees Bazmee telah lama merancang untuk memfilemkan satu babak penting dalam sebuah bank.

Produksi atas kerjasama penerbit Bhushan Kumar, Kumar Mangat dan Abhishek Pathak itu menampilkan John sebagai seorang lelaki bernama Raj Kishore yang sering bertukar kerja dan ditimpa nasib malang.

Sebelum ini, terdapat laporan menyatakan bahawa pihak produksi telah berbincang untuk menghasilkan sekuel walaupun filem pertama belum ditayangkan.

Filem romantik komedi "Pagalpanti" bakal menemui penonton pada 8 November 2019.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Eastern Eye)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide