Penggambaran filem Jonathan Rhys Meyers "Rajah" bermula di Malaysia | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Penggambaran filem Jonathan Rhys Meyers "Rajah" bermula di Malaysia

Penulis: Florey DM

Jonathan Rhys Meyers membintangi filem terbitan produksi Hollywood di Sarawak, "Rajah".
Jonathan Rhys Meyers membintangi filem terbitan produksi Hollywood di Sarawak, "Rajah".

23 Sep – Penggambaran filem produksi Hollywood berjudul "Rajah" kini mula menjalani penggambaran di Sarawak, Malaysia bermula hari ini.

Seperti yang dilaporkan menerusi Star2, seluruh kompleks Borneo 744 di ibu negeri Sarawak, Kuching, itu menempatkan bengkel, pejabat produksi dan pentas suara bagi projek berkenaan. Tempoh penggambaran dianggarkan akan berlangsung selama lebih dari sebulan dan dijangka akan berakhir pada penghujung Oktober depan.

Pelakon Irish Jonathan Rhys Meyers membintangi filem itu sebagai peneraju utama, Sir James Brooke. Berita mengenai pembabitan pelakon itu dalam filem tersebut telah dilaporkan oleh The Hollywood Reporter baru-baru ini.

Pelakon berusia 42 tahun yang tampil dalam filem seperti "Mission: Impossible III", "The Mortal Instruments: City of Bones" serta filem thriller sains fiksyen "Awake" itu akan menyertai barisan pelakon tempatan seperti Bront Palarae, Shaheizy Sam dan Rahim Razali dalam menggalas watak penting.

Barisan pelakon lain termasuklah pelakon Sarawak Peter John dan Kahar Jimi, pelakon Indonesia Atiqah Hasiholan, Yusuf Mahardika dan Samo Rafael, serta penyanyi dan pelakon Hong Kong Josie Ho dan pelakon Inggeris Dominic Monaghan (trilogi "The Lord of the Rings", "Star Wars: The Rise of Skywalker").

Bront akan menjayakan watak musuh Brooke, Pengiran Indera Mahkota, Shaheizy sebagai teman berbangsa Melayu Brooke, Subu, dan Rahim sebagai Sultan Brunei.

Sementara itu, Atiqah akan membawa watak wanita yang dicintai Brooke, Fatima, Josie sebagai bekas kekasih Brooke, Madame Lim, serta Monaghan sebagai sepupu dan rakan seperjuangan Brooke, Kolonel Arthur Crookshank.


Bront Palarae antara salah seorang pelakon tempatan yang membintangi "Rajah".

Filem itu diarahkan oleh pengarah muzik Michael Haussman, sementara skrip filem ditulis oleh Rob Allyn, yang turut menerbitkan filem bersama Jake dan Conor Allyn di bawah syarikat produksi mereka, Margate House Films, bersama syarikat produksi milik Josie Ho dan Conroy Chan, 852 Films.

Allyn sudah lama merancang untuk menghasilkan filem adaptasi itu, selepas menjumpai sebuah buku mengenai Brooke ketika berada di Singapura. Pada 2013, dia telah mengadakan sebuah majlis sidang media bagi mengumumkan produksi filem itu dengan judul "White Rajah".

Filem itu turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Pelancongan Sarawak serta rebat Kelayakan Perbelanjaan Produksi Malaysia dari Insentif Filem Malaysia.

Pertubuhan The Brooke Heritage Trust, yang bertindak sebagai penasihat teknikal filem, turut menyediakan diari-diari Brooke, surat-surat, sumber asal sejarah dan arkibnya sebagai rujukan filem bagi memastikan kesahihan sejarahnya.

Brooke, lagenda pengembara British yang menjadi model utama novel Rudyard Kipling berjudul "The Man Who Would Be King" dan "Lord Jim" oleh Joseph Conrad, merupakan pengasas Rajah Sarawak di Borneo selepas jatuh hati kepada syurga tropikal itu. Dia turut bertempur dengan lanun dan musuh-musuh Sultan, yang kemudian mengangkatnya sebagai Rajah Sarawak. Pemerintahannya bermula pada 1841 (walaupun pengisytiharan rasminya dibuat pada 1842) sehingga kemangkatannya pada 1868.

(Sumber foto: The Place 2 & Jack Newberry)

Cinema Online, 23 Sept 2019


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE
Waktu Tayangan