Buletin
Kaka Azraff kekal aktif bekerja


Tarikh disiarkan: 18 Jun 2019


Kaka Azraff tidak simpan niat untuk bersara selepas bersalin.

18 Jun – Penyanyi dan pelakon Kaka Azraff masih ligat bekerja walaupun kini dia sedang hamil anak sulung dan menganggap kehamilan itu bukan halangan untuknya kekal aktif.

Menerusi laporan yang dipetik dari HarianMetro, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Noor Azraff ini berkata dia tidak menyimpan niat untuk bersara selepas bersalin nanti.

"Tak mungkin saya meninggalkan bidang ini kerana ia sudah sebati dengan diri. Bagaimanapun, selepas bersalin nanti anak jadi keutamaan dan saya berehat seketika.

"Bukan apa, karier seni minat saya dan diwarisi daripada keluarga. Insya-Allah, saya boleh bahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan keluarga," katanya.


Pelakon filem "Interchange" ini juga meluahkan rasa senang kerana suaminya tetap menyokong dan memahami kerjayanya namun perlu mengawal diri agar tidak terlalu lasak.

Kaka yang melangsungkan perkahwinan bersama Adam Azriff pada 27 November tahun lalu tidak sabar menantikan kelahiran anak sulung mereka. Tambahnya lagi, dia tidak kisah akan jantina anaknya sama ada lelaki atau perempuan.

Bercakap mengenai perkembangan kerjayanya, Kaka sentiasa bersifat positif serta berasa teruja menantikan rakaman lagu barunya.

Dalam soal lakonan, Kaka pernah membintangi sebuah filem hasil kolaborasi pembikin filem tempatan dan Indonesia iaitu "Zharfa The Movie".

Selain itu, dia juga pernah membintangi drama "Inai Yang Hilang" serta telefilem "Rama-Rama" yang disiarkan di saluran ntv7 pada tahun lalu.

(Sumber foto: Kaka Azraff Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: