Buletin
Kangana Ranaut dapat khidmat jurusolek Hollywood untuk filem barunya


Tarikh disiarkan: 13 September 2019


Kangana Ranaut membawa watak ahli politik Jayaram Jayalalithaa
dalam filem biopik "Thalaivi".

13 Sep – Aktres Kangana Ranaut bakal membintangi sebuah filem biopik mengenai mendiang Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayaram Jayalalithaa, berjudul "Thalaivi".

Sehubungan dengan itu, penerbit filem Vishu mendedahkan bahawa Kangana akan berangkat ke Los Angeles untuk bertemu dengan pakar prostetik Jason Collins, yang telah bekerja dalam filem "Captain Marvel" baru-baru ini.

"Kangana akan menjayakan empat jenis penampilan usia yang berbeza dalam filem ini dan kami memerlukan kru pra produksi yang mencukupi untuk perkara itu.


"Kami telah memberi tanggungjawab kepada jurusolek selebriti Hollywood untuk melakukan solekan buat Kangana," ujar Vishu menerusi laporan dari Times of India.

Dalam pada itu, Vishu turut menafikan dakwaan yang mengatakan projek itu ditangguh kerana pembikin filem tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi.

Menurutnya, proses penggambaran akan berjalan seperti yang dirancang iaitu pada November depan. Dia turut meluahkan rasa kecewa kerana ura-ura sebegitu disebarkan tanpa pengesahan pihak produksi.

Baru-baru ini juga, Kangana telah membuat permintaan kepada pembikin filem untuk menukar judul filem tersebut ke "Thalaivi" sama seperti versi Tamil. Pada asalnya filem versi Hindi itu diberi judul "Jaya".

(Sumber foto: Femina Magazine)
(Sumber artikel: Times of India)

Penulis: Nisa Irina