Buletin
Kangana Ranaut: "Dhaakad" setanding "Resident Evil"


Tarikh disiarkan: 14 September 2019


Kangana Ranaut perlu mahirkan penggunaan senjata termasuk senapang mesin.

14 Sep – Selain sibuk dengan persiapan filem biopik "Thalaivi", aktres Kangana Ranaut juga bakal mengerah tenaga bagi menjayakan projek filem aksinya iaitu "Dhaakad".

Filem itu menandakan filem aksi pertama Bollywood yang mengetengahkan peneraju utama wanita serta debut pengarahan buat Razneesh 'Razy' Ghai.

Ghai mendedahkan aktres itu perlu menjalani program latihan selama enam minggu selain mempelajari kombat tangan dan seni bela diri Krav Maga selama dua minggu bagi setiap satu.


Selain itu, Kangana juga perlu memahirkan penggunaan senjata seperti pistol. Pihak produksi telah mendapatkan khidmat jurulatih daripada sekumpulan pengarah lagak aksi dari Thailand.

""Dhaakad" adalah sebuah filem yang setanding "Resident Evil". Ia mengandungi beberapa babak kejar mengejar dan lawan pedang. Saya akan menggunakan pelbagai jenis senjata termasuk beberapa senapang terbaru.

"Pada pendapat saya, sebagai pelakon, seseorang itu perlu mempelajari kemahiran baru untuk setiap filem yang akan dibintanginya.

"Saya tidak suka terburu-buru dalam melakukan apa-apa projek kerana ia akan buat saya gementar," kata Kangana menerusi laporan Eastern Eye.

Penggambaran filem akan dijalankan di Thailand, Budapest, Prague dan India Utara. Menurut produksi, filem itu dijangka akan ditayangkan pada Diwali 2020.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Eastern Eye)

Penulis: Nisa Irina