Buletin
Karan Johar puji sikap luar biasa Akshay Kumar


Tarikh disiarkan: 20 November 2019


Karan Johar ingin tawarkan projek filem besar kepada Akshay Kumar.

20 Nov – Penerbit terkenal Karan Johar menyifatkan aktor Akshay Kumar sebagai salah seorang bintang filem Bollywood luar biasa kerana menitikberatkan kualiti filem terlebih dahulu.

Menurut laporan dari Hindustan Times, pada mulanya Karan yang juga dikenali sebagai KJo bercadang untuk menawarkan Akshay sebuah projek filem yang berbajet besar.

Walau bagaimanapun, Akshay lebih memilih untuk membintangi filem komedi terbaru hasil kolaborasi mereka iaitu "Good Newwz" yang turut menampilkan Kiara Advani, Kareena Kapoor dan Diljit Dosanjh.


"Asalnya saya ingin teruskan dengan sebuah projek besar kerana Akshay adalah seorang bintang filem terkenal. Apa yang unik tentangnya adalah dia sentiasa menitikberatkan kandungan filem.

"Dia tidak pernah mengutamakan projek besar atau pengarah yang terkenal sahaja. Dia sentiasa menyokong pengarah-pengarah baru dan itu adalah perkara yang luar biasa bagi seorang bintang filem.

""Good Newwz" menandakan filem ke-23 Akshay bersama pengarah debut. Dialah satu-satunya bintang filem yang banyak bekerja dengan pengarah-pengarah debut," puji Karan.

Buat pengetahuan lanjut, sebelumnya Karan dan Akshay telah berkolaborasi menerusi filem-filem seperti "Om Shanti Om", "Brothers" dan "Kesari".

Sementara itu, Karan telah hadir memeriahkan majlis pelancaran treler filem "Good Newwz" bersama barisan peneraju utama filem itu di Mumbai pada Isnin.

"Good Newwz" adalah filem hasil garapan pengarah Raj Mehta dan ia bakal dirilis di pawagam pada 27 Disember ini.

(Sumber foto: Karan Johar & Akshay Kumar Instagram)

(Sumber artikel: Hindustan Times)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide