Buletin
Karan Johar jalin usaha sama dengan platform penstriman terkenal


Tarikh disiarkan: 13 September 2019


Karan Johar teruja terbitkan lebih banyak filem dan siri di bawah Dharmatic Entertainment.

13 Sep – Pembikin filem hebat Karan Johar telah menandatangani kontrak usaha sama jangka panjang Dharma Productions dengan syarikat platform penstriman video terkenal, Netflix India.

Menurut Karan atau dikenali sebagai KJo, usaha sama itu bertujuan untuk menghasilkan lebih banyak filem dan siri fiksyen dan bukan fiksyen di bawah studio kandungan digital Dharmatic Entertainment yang baru ditubuhkan.

Pembikin filem berusia 47 tahun itu turut berkongsikan berita baik berkenaan menerusi sebuah rakaman video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di laman Twitter miliknya baru-baru ini.

"Saya sangat teruja dengan pembikinan projek-projek baru kami yang telah pun bermula dan segala kemungkinan yang akan datang.


"Untuk menceritakan pelbagai kisah dari India kepada seluruh dunia adalah sesuatu yang menakjubkan dan peluang baru bagi kami," ujar Karan menerusi laporan dari India Today.

Menurut CEO Dharma Productions, Apoorva Mehta, dengan adanya Netflix sebagai pengedar bagi Dharmatic Entertainment, dia meletakkan harapan tinggi untuk apa yang bakal mereka usahakan bersama-sama.

"Visi kami adalah untuk menghasilkan kisah-kisah dari pelbagai genre dan kami tidak sabar untuk berkongsikan hasilnya kepada seluruh dunia bersama Netflix," ujar Mehta.

Sebelum ini, Karan telah bekerjasama dengan Netflix bagi sebuah filem antologi arahannya bersama Anurag Kashyap, Zoya Akhtar dan Dibakar Banerjee berjudul "Lust Stories".

(Sumber foto: Stackumbrella)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide