Buletin
Kareena Kapoor mungkin akan bintangi "Lal Singh Chaddha"


Tarikh disiarkan: 16 Jun 2019


Kareena Kapoor kini sibuk dengan penggambaran "Angrezi Medium" dan program realiti tarian.

16 Jun – Desas desus mengatakan bahawa aktres Kareena Kapoor mungkin akan dilihat membintangi filem "Lal Singh Chaddha" bersama Aamir Khan.

Kareena yang kini berada di London untuk menjalani sesi penggambaran "Angrezi Medium", akan pulang ke India untuk menjalani penggambaran rancangan realiti tarian.


Selesai sahaja jadualnya itu, dia akan memberi jawapan jika dia bersetuju atau sebaliknya untuk menerima tawaran berlakon filem tersebut.

Menurut laporan yang dipetik dari Pinkvilla, jika dia bersetuju, dia akan memainkan watak kekasih kepada Aamir menerusi filem itu.

Aamir telah mengambil kesempatan untuk mengumumkan tentang filem tersebut semasa hari ulang tahun kelahirannya ke-54 pada 14 Mac lalu.

Kareena dan Aamir telah bergandingan dalam beberapa buah filem sebelum ini termasuk "3 Idiots" dan "Talaash".

Filem arahan Advait Chandan itu merupakan sebuah 'remake' Hindi bagi filem Tom Hanks "Forrest Gump" 1994.

Penggambaran filem itu akan bermula pada bulan Oktober dan akan dirilis pada 2020.

(Sumber artikel: Pinkvilla)

(Sumber foto: 10wallpaper.com)

Penulis: Nisa Irina