Buletin
Khai Bahar ingin asah bakat jadi pelakon


Tarikh disiarkan: 23 Julai 2019


Khai Bahar pernah minta tip lakonan dari Siti Nordiana.

23 Jul – Penyanyi Khai Bahar bakal membuat debut sebagai pelakon apabila dilaporkan akan membintangi sebuah megadrama tidak lama lagi.

Menerusi megadrama tersebut, Khai akan digandingkan bersama penyanyi dan juga pelakon, Siti Nordiana, sekaligus menandakan gandingan pertama mereka di kaca televisyen.


Seperti yang dilaporkan menerusi Harian Metro, sesi penggambaran akan bermula pada awal Ogos depan namun butiran lanjut mengenai judul megadrama itu masih belum didedahkan setakat ini.

Dalam pada itu, Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana, mendedahkan bahawa Khai pernah meminta tip lakonan daripadanya.


Khai dan Nana dilihat sibuk mempromosikan lagu duet mereka.

"Memang dia ada bertanya mengenai tip dan nasihat dalam lakonan dan saya pun ada berkongsi dengannya. Namun, saya pun masih baru lagi dalam cabang seni ini dan lebih afdal sekiranya kami bersama-sama menyertai kelas lakonan yang lebih formal.

"Daripada apa saya lihat menerusi video muzik lagunya dan lagu duet kami, saya yakin Khai adalah seorang penyanyi yang ada bakat dalam lakonan," ulas Nana.

Dalam perkembangan terbaru, Khai dan Nana baru sahaja melancarkan lagu duet berserta dengan video muzik berjudul "Satukan Rasa".

Video muzik yang dimuat naik di laman YouTube itu berjaya mencecah jumlah tontonan sebanyak 2.3 juta sejak pelancarannya dua minggu lalu.

Selain itu, mereka juga telah selesai menjalani penggambaran program "Jalan Firdausi" yang akan ditayangkan di TV1 pada 11 Ogos depan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha.

(Sumber foto: Khai Bahar Instagram)

Penulis: Nisa Irina