Buletin
Khai Bahar sedia terima kritikan dalam lakonan


Tarikh disiarkan: 12 September 2019


Khai Bahar akan cuba lakukan sehabis baik dalam lakonannya dan
sedia menanti respon daripada penonton.

12 Sep – Bakal membuat debut sebagai pelakon dalam drama sulungnya, penyanyi Khai Bahar memberitahu dia sudah bersedia untuk menerima segala maklum balas dan kritikan daripada penonton.

"Apabila bersetuju untuk berlakon, ini bermakna saya juga perlu bersedia dengan apa saja maklum balas nanti. Positif atau negatif, saya akan terima. Lagi pula ia pandangan setiap orang.

"Dalam masa sama, saya ingin menjadikan setiap komen itu sebagai alat untuk memperbaiki diri. Tak bolehlah nak komen baik semua kan?," katanya yang dipetik dari laporan Harian Metro.

Drama berjudul "Duet: Satukan Rasa" itu akan menggandingkan Khai bersama pasangan duetnya menerusi lagu "Satukan Rasa", Siti Nordiana atau lebih mesra dipanggil Nana.


Menurut Khai lagi, walaupun merasai cabaran untuk berlakon buat kali pertama, dia bersyukur kerana mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada Nana.

Memandangkan penggambaran akan bermula pada minggu hadapan, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Bin Baharuddin itu mengakui debaran semakin dirasai kerana diberikan watak utama.

Drama terbitan Suhan Movies itu turut menandakan debut lakonan bagi penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Meor Zulkarnain atau lebih dikenali sebagai Nine.

Drama tersebut akan ditayangkan di slot Megadrama Astro Ria pada awal November depan.

(Sumber foto: Khai Bahar Instagram)

Penulis: Nisa Irina