Buletin
Kiara Advani bakal terajui "Bhool Bhulaiyaa 2"?


Tarikh disiarkan: 20 September 2019


Kiara Advani bakal digandingkan dengan Kartik Aaryan buat kali pertama.

20 Sep – Persoalan mengenai aktres yang bakal digandingkan dengan aktor Kartik Aaryan dalam sekuel filem "Bhool Bhulaiyaa 2" akhirnya terjawab apabila Kiara Advani dipilih untuk menerajui filem tersebut.

Menurut laporan dari Pinkvilla, jika Kiara bersetuju dengan tawaran yang diberikan, filem itu akan menandakan debut gandingan kedua-dua mereka di layar perak.

"Penggambaran filem seram komedi itu dijangka bermula pada Oktober depan dan para pelakon akan mula sesi meneliti dan membaca skrip sebagai jadual pertama proses pra produksi," dedah satu sumber terdekat.


Pada Ogos lalu, Kartik telah berkongsikan poster pertama filem sebagai langkah permulaan mempromosikan filem arahan Anees Bazmee itu. Ia dijangka akan ditayangkan pada 31 Julai 2020.

Sebelumnya, filem pertama "Bhool Bhulaiyaa" diarahkan oleh Priyadarshan dan dibintangi Akshay Kumar dan Vidya Balan sebagai watak utama.

Terdapat laporan yang mengatakan Akshay akan membuat penampilan 'cameo' dalam filem sekuel itu tetapi perkara itu masih belum disahkan oleh pembikin filem.

Dalam perkembangan lain, Kiara akan dilihat membintangi sebuah lagi filem seram komedi, "Laxmmi Bomb" dan filem "Good News" bersama Akshay.

Selain itu, dia juga akan berkongsi skrin dengan aktor Sidharth Malhotra bagi filem "Shershaah".

(Sumber foto: Apherald)
(Sumber artikel: Pinkvilla)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide