Kiara Advani kongsi persiapan bagi filem "Indoo Ki Jawani" | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kiara Advani kongsi persiapan bagi filem "Indoo Ki Jawani"

Penulis: Nisa Irina

Kiara Advani perlu jalani ujian penampilan dan gaya supaya sama seperti gadis-gadis Ghaziabad.
Kiara Advani perlu jalani ujian penampilan dan gaya supaya sama seperti gadis-gadis Ghaziabad.

25 Okt– Seperti yang dilaporkan beberapa bulan sebelumnya, aktres Kiara Advani bakal tampil dengan sebuah filem komedi arahan Abir Sengupta berjudul "Indoo Ki Jawani".

Sehubungan dengan itu, Kiara turut mendedahkan dia akan menggalas watak seorang gadis berdikari dari Ghaziabad bernama Indoo, yang mencari pasangan menerusi aplikasi telefon pintar.

"Saya telah membuat persiapan bagi watak Indoo sejak saya menandatangani projek ini lagi. Kini tiba masanya untuk saya menghidupkan wataknya.

"Indoo serupa seperti gadis-gadis India yang lain, dia seorang yang menawan, penyayang dan ceria. Saya pasti filem ini akan menghiburkan," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Memandangkan wataknya berasal dari Ghaziabad, ia memerlukan Kiara untuk bertutur dalam cara yang tertentu, di mana dia perlu berlatih dari segi sebutan dan bahasa tubuh.

Selain itu, satu sumber terdekat turut mendedahkan Kiara telah menduduki satu ujian dari segi penampilan dan gaya supaya sama seperti gadis-gadis yang tinggal di bandar itu.

Pada minggu lalu, aktres filem "Kabir Singh" itu telah menjalani penggambaran di sebuah kompleks beli belah di Lucknow, yang akan berlangsung selama tiga minggu.

Walau bagaimanapun, pihak produksi akan berehat selama beberapa hari untuk memberi ruang kepada semua yang terlibat bagi menyambut perayaan Deepavali.

Diterbitkan oleh Bhushan Kumar dan Nikkhil Advani, filem "Indoo Ki Jawani" turut menampilkan aktor Aditya Seal sebagai peneraju utama di samping Kiara. Filem itu akan ditayangkan pada tahun 2020.

(Sumber foto: Filmyhut)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Cinema Online, 25 Okt 2019

Waktu Tayangan