Buletin
Kiara Advani dan Sidharth Malhotra ke Kargil Julai ini untuk "Shershaah"


Tarikh disiarkan: 18 Jun 2019


Sidharth Malhotra akan bawa watak Kapten Vikram Batra sementara
Kiara Advani sebagai Dimple Cheema.

18 Jun – Peneraju filem "Shershaah", Kiara Advani dan Sidharth Malhotra bakal berangkat ke Kargil untuk meneruskan penggambaran pada Julai.

Jadual penggambaran pertama telah selesai dijalankan di Chandigarh pada bulan Mei lalu dan pasukan produksi akan tiba di daerah Ladakh pada 26 Julai.

Mereka akan memberi penghormatan kepada hari Kargil Vijay Diwas dan tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 hari bersejarah itu. Perayaannya akan dijalankan selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Julai.

"Sidharth dan Kiara akan memulakan penggambaran sejurus selesai menyertai perayaan itu serta meluangkan masa bersama para tentera.


"Sidharth akan tinggal selama lebih kurang sebulan untuk melakonkan babak perang filem sementara jadual Kiara akan berakhir lebih awal," dedah seorang sumber terdekat filem.

Menurut laporan dari MumbaiMirror, filem biopik itu diinspirasi dari kisah seorang pegawai tentera India, Kapten Vikram Batra yang dianugerahkan Param Vir Chakra kerana keberanian dan pengorbanan beliau semasa Perang Kargil 1999.

Hari Kargil Vijay Diwas dinamakan selepas kejayaan Operasi Vijay dimana India berjaya mengambil alih kubu yang dijajah oleh tentera Pakistan pada 26 Julai 1999.

Peperangan itu berlangsung selama lebih 60 hari, sementara India bertempur demi menguasai semula semua wilayah yang dijajah sebelum ini.

Menerusi filem arahan Vishnuvardhan itu, Sidharth akan membawa watak Kapten Vikram Batra sementara Kiara sebagai kekasihnya, Dimple Cheema.

Filem tersebut akan ditayangkan di layar perak pada 2020.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: South Celebrities & The Digital Hash)

Penulis: Nisa Irina