Buletin
Kirti Kulhari cabar diri keluar dari zon selesa


Tarikh disiarkan: 12 September 2019


Kirti Kulhari berpendapat platform digital adalah medium untuk aktor baru tonjolkan bakat mereka.

12 Sep – Aktres Kirti Kulhari memberitahu bahawa dia sering mencari watak yang mencabar dalam lakonannya bagi membolehkan dirinya keluar dari zon selesa.

Perkara itu juga membantu untuk mengembangkan lagi bakat serta mencabar kebolehannya sebagai pelakon untuk pergi lebih jauh.

"Tidak ramai yang mampu melihat kebolehan kita. Orang ramai sering melihat apa yang pernah kita lakukan dan berpendapat kita hanya boleh melakukan perkara yang sama.

"Saya tidak mencari sesuatu yang saya rasa selesa untuk lakukan dan keluar dari zon selesa hingga saya rasa bosan jika melakonkan watak yang sama," katanya.


Menurut laporan yang dipetik dari News Nation, Kirti berpendapat dengan adanya platform digital yang semakin berkembang, ia dapat membantu aktor-aktor baru untuk menonjolkan bakat mereka.

Terbaru, aktres filem "Mission Mangal" itu bakal membintangi sebuah siri drama thriller berjudul "Bard of Blood" yang akan disiarkan di platform penstriman video Netflix.

Menerusi siri yang bersiaran bermula 27 September itu, Kirti akan digandingkan bersama pelakon lain seperti Emraan Hashmi, Viineet Kumar Singh dan Shobita Dhulipala.

Diarahkan oleh Ribhu Dasgupta, ia berkisar mengenai seorang ejen RAW, Kabir Anand, seorang penganalisis yang berani dan seorang ejen yang sudah lama tidak aktif, memulakan misi di Balochistan di mana empat orang perisik India telah ditangkap.

Kirti mendedahkan karakternya bukanlah berdasarkan buku karya Bilal Siddiq yang sama judul, tetapi ia adalah satu karakter baru yang telah dicipta khas untuk siri tersebut.

(Sumber foto: Kirti Kulhari Instagram)
(Sumber artikel: News Nation)

Penulis: Nisa Irina