Buletin
Kodi Rasheed mahu kerja di belakang tabir


Tarikh disiarkan: 10 Jun 2019


Kodi Rasheed ingin melibatkan diri dalam pembikinan filem.

10 Jun – Pelakon Kodi Rasheed membuat keputusan untuk beralih arah dengan membabitkan diri dalam bidang pembikinan filem termasuk penulisan skrip.

Pemilik nama penuh Mohd Zhazmeer bin Mohd Rasheed itu berkata bagaimanapun dia tidak berhasrat untuk meninggalkan dunia lakonan, sebaliknya mahu bekerja lebih keras untuk memperbaiki bakat lakonannya.

Kodi mendedahkan bahawa dirinya tidak mendapat tawaran berlakon selama lebih tiga bulan angkara tindakan individu yang tidak berpuas hati dengannya.

Tambahnya lagi, dia ada menerima tawaran dari sebuah pihak produksi namun apabila dia pergi ke stesen TV itu, mereka mendakwa namanya tidak dihantar.

"Saya duduk rumah lama, tiga bulan sebab tiada kerja. Lepas fikir, datang idea mungkin saya sendiri yang perlu 'create' kerja itu.

"Saya pula suka buat filem dan memang minat dalam bidang ini, jadi mengapa tidak saya cuba," ujarnya menerusi laporan yang dipetik dari mStarOnline.


Menurut pelakon filem "KL Wangan" ini, dia merasakan dirinya belum mempunyai rezeki dan belum dikenali ramai jadi dia nekad untuk berusaha lebih kuat pada masa akan datang.

Kodi pernah merangkul anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-27 menerusi filem "Ophilia" pada 2015.

Dalam perkembangan baru, Kodi akan kembali ke layar lebar pada tahun ini dengan beberapa projek filem baru seperti "Bikin Filem", "Masterpiecisan" dan "M4M4".

Dia juga turut dilihat berlakon dalam drama tempatan seperti "Penjejak Ifrit" dan "Detak Cinta Stetoskop" serta telefilem "Abang! Adik Patah Balik" dan "Telapak Waktu".

(Sumber foto: Kodi Rasheed Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
KL Wangan: Bikin Gempak (Melayu) (21 Disember 2017)
Ophilia (Melayu) (18 Disember 2014)
Kau Yang Satu (Melayu) (27 Julai 2017)
Coverina (Melayu) (19 Februari 2015)





Ticket Pricing Guide