Buletin
"KRON" gabungkan elemen sejarah dan fiksyen


Tarikh disiarkan: 16 Ogos 2019


Pengarah Opie Zami, penerbit eksekutif Amir Zainuddin, serta pelakon utama Zahiril Adzim
dan Dayana Roza yang hadir di sidang media selepas tayangan perdana filem "KRON".

16 Ogos – Memandangkan filem bertemakan sejarah kurang diterbitkan di Malaysia, pengarah Opie Zami telah mengambil inisiatif dan tampil dengan filem baru arahannya yang berjudul "KRON".

Filem itu menerapkan konsep pengembaraan serta diselitkan dengan elemen sejarah mengenai latar belakang kisah kerajaan Kedah Tua, di mana jalan ceritanya dikembangkan lagi dengan elemen fiksyen untuk memberi kelainan.

Bagaimanapun, menurut penerbit eksekutif, Amir Zainuddin, filem itu hanya menyelitkan sedikit elemen sejarah iaitu mengenai laluan rahsia yang digunakan untuk pemberian bunga emas oleh Sultan Kedah kepada Raja Siam dan selebihnya adalah fiksyen.

"Sebenarnya kami ingin mengangkat lebih banyak sejarah tetapi beberapa bulan sebelum penggambaran, Raja Thailand (Raja Bhumibol Adulyadej) telah mangkat jadi kami dinasihatkan oleh pihak muzium Kedah untuk tidak menyentuh mengenai Thailand," ujarnya yang ditemui di gala tayangan perdana filem "KRON" di mmCineplexes eCurve, Petaling Jaya semalam.


Menurut Opie, dia bersama dengan syarikat produksinya, OpyGlobal Pictures, telah menerima kerjasama daripada pihak sebuah muzium di Kedah, serta merujuk mufti negeri Perak (Dato' Seri (Dr.) Haji Harussani Bin Haji Zakaria) bagi menapis apa-apa isu yang menyentuh sensitiviti agama dalam filem tersebut.

"Ternyata cara penyampaian filem ini adalah berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada dan sudah tentu ia juga satu cabaran buat saya supaya jalan cerita yang ditampilkan nampak menarik dan mudah difahami penonton.

"Saya turut berharap agar filem ini diterima penonton kerana saya tahu tidak ramai pengarah yang ingin membuat filem seperti ini," ujarnya lagi.

Opie turut meluahkan rasa bersyukurnya serta berpuas hati atas lakonan dan komitmen yang diberikan oleh barisan pelakon iaitu Zahiril Adzim, Dayana Roza, Aman Graseka, Mamak Puteh dan ramai lagi.

"KRON" mengisahkan tentang Profesor Daud, seorang pengkaji Sejarah di sebuah muzium di Kedah, dan pembantunya Sham yang nekad untuk melakukan ekspedisi menjejaki laluan Raja Siam untuk mencari bunga emas dan perak walaupun dihalang pihak atasan.

Misi mereka disertai seorang ahli perniagaan, Melur Seri, bersetuju untuk menanggung kos ekspedisi tersebut dan seorang pengarah televisyen paranormal, Pian, yang menawarkan diri untuk merakam aktiviti mereka tanpa sebarang bayaran. Misi mereka terganggu apabila diburu oleh satu makhluk misteri digelar Kron.

Filem "KRON" akan menemui penonton di pawagam bermula 22 Ogos ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Kron (Melayu) (22 Ogos 2019)