Buletin
"Amukan Kuntilanak" mahu kembalikan genre seram 80an


Tarikh disiarkan: 9 Ogos 2019


Selain bertindak sebagai penerbit, pasangan suami isteri ini turut membintangi "Amukan Kuntilanak" sebagai peneraju.

9 Ogos – Sebuah filem seram terbaru bakal menghantui penonton tempatan iaitu "Amukan Kuntilanak" yang mana ia akan tampil berbeza dengan mengetengahkan latar masa pada tahun 1980an.

Menurut penerbit filem ini yang merupakan pasangan suami isteri Amai Kamarudin dan Elanie Aidid, naskhah pertama terbitan produksi milik mereka iaitu Millionaire Films Productions adalah gabungan kisah-kisah seram sebenar.

"Saya tidak mahu paparkan cerita yang apabila sebut hantu mesti bermain dengan banyak darah. Saya sampaikan emosi dan cuba membentuk karakter hantu itu berdasarkan kajian yang saya buat.

"Pengarah sendiri pernah berdepan kejadian mistik apabila isterinya dirasuk hantu. Kisah itu juga saya ambil dan selitkan dalam babak "Amukan Kuntilanak"", ujar Elanie yang dipetik dari Harian Metro.


Selain bertindak sebagai penerbit bersama, Elanie turut menggalas tugas sebagai penulis skrip dan juga berlakon sebagai watak utama.

Selain Elanie, filem seram arahan Shuhaimi Zulkifle ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Zulhuzaimy, Shah Iskandar, Syed Ali, Azzahra Ahmad dan AJ Azril.

Penggambaran filem "Amukan Kuntilanak" ini akan bermula pada November ini dan dijangka akan menemui penonton di seluruh negara pada Ogos 2020.

(Sumber foto: Amai Kamaruddin Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Temuan Takdir (Melayu) (11 Ogos 2016)