Buletin
Lakonan bukan lagi keutamaan Amerul Affendi


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Amerul Affendi tegaskan cintanya terhadap dunia sinema dan seni tidak akan mati
walaupun dia sudah tidak lagi utamakan bidang lakonan.

12 Jun – Pelakon berbakat besar Amerul Affendi memberitahu bidang lakonan bukan lagi menjadi keutamaannya sebaliknya hanya sekadar untuk melempiaskan hobi sahaja.

Amerul berkata demikian kerana dia kini sibuk melibatkan diri dalam industri berasaskan pertanian yang diusahakan sejak tiga tahun lalu demi menjamin masa depannya.

"Sejak tiga tahun lalu saya telah aktif dalam bidang pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan penternakan antaranya kerbau dan patin.

"Projek ini saya usahakan di kampung halaman iaitu di Temerloh, Pahang. Jika dahulu dunia lakonan mata pencarian utama, sekarang tidak lagi kerana fokus saya adalah perusahaan pertanian," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!


Tambah pelakon "One Two Jaga" ini lagi, walaupun dia sudah tidak lagi mengutamakan dunia lakonan, namun cintanya terhadap dunia sinema dan seni tidak akan pernah pudar atau mati.

Sebelum ini, Amerul merupakan antara salah seorang pelakon yang lantang mengkritik sikap stesen televisyen yang hanya mengambil pelakon berdasarkan paras rupa semata-mata, dan pelakon berbakat yang tidak mempunyai rupa tidak diberi peluang langsung.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya pemenang trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 baru-baru ini bakal muncul dengan filem terbaru berjudul "Prebet Sapu" yang kini dalam proses pos-produksi.

Selain itu, dia juga baru sahaja muncul dalam muzik video terbaru Yuna berjudul "Blank Marquee" duet bersama rapper terkenal G-Eazy.

(Sumber foto: Romanbuku.com)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Melayu) (6 September 2018)
Polis Evo (Melayu) (17 September 2015)
Paskal The Movie (Melayu) (27 September 2018)