Buletin
Lakshya buat debut lakonan dalam "Dostana 2"


Tarikh disiarkan: 8 September 2019


Lakshya adalah pelakon baru yang diperkenalkan oleh Karan Johar
di bawah Dharma Productions.

8 Sep – Penantian untuk mengetahui siapa yang bakal diangkat sebagai peneraju utama ketiga bagi filem "Dostana 2" berakhir apabila pembikin filem Karan Johar memperkenalkan aktor baru, Lakshya.

Karan yang dikenali dengan gelaran KJo, telah mengumumkan berita baik itu menerusi entri yang dimuat naik di laman Twitter dan Instagram miliknya.

"Saya berasa gembira dan teruja untuk memperkenalkan aktor baru di Dharma! Lakshya akan membuat debutnya bersama kami dalam "Dostana 2".

"Dari sini kami berharap untuk memulakan sebuah perjalanan sinematik yang kukuh bersama-sama!" ujar Karan menerusi laporan yang dipetik dari Firstpost.

Lakshya kini mempunyai empat buah kontrak filem yang ditandatangani di bawah syarikat Dharma Productions selepas selesai menjalani beberapa proses pemilihan termasuk sesi uji bakat dan sesi bergambar.


Sebelumnya, peminat telah sedia maklum dengan dua orang peneraju utama filem sekuel "Dostana" 2008 itu, iaitu aktor Kartik Aaryan dan aktres Janhvi Kapoor.

"Dostana 2" menandakan filem dan lakonan debut buat Lakshya serta gandingan pertama Kartik dan Janhvi di skrin lebar. Bagaimanapun mereka tidak digandingkan sebagai pasangan kekasih, sebaliknya sebagai adik beradik.

Terdapat spekulasi sebelum ini yang menyatakan Rajkummar Rao bakal memegang watak peneraju utama ketiga, namun kali ini Karan dilihat ingin memberi peluang itu kepada bakat-bakat baru.

Filem pertama yang dilakonkan oleh Priyanka Chopra, Abhishek Bachchan dan John Abraham, filem kedua diarahakan oleh Tarun Mansukhani sementara filem kedua akan menampilkan pengarah Collin Dcunha.

(Sumber foto: Lakshya Instagram)
(Sumber artikel: Firstpost)

Penulis: Nisa Irina