Buletin
Leez Rosli rancang kembali aktif dalam bidang muzik


Tarikh disiarkan: 18 Julai 2019


Leez Rosli ingin kukuhkan nama dalam bidang nyanyian.

18 Jul – Sekian lama tidak muncul di layar lebar mahupun di kaca TV, pelakon dan penyanyi Leez Rosli menyatakan keinginannya untuk kembali aktif dalam kerjaya seni.

Leez atau nama sebenarnya Rosliza binti Rosli dianggap telah meninggalkan kerjayanya sejak berkahwin dengan vokalis Drama Band, Aepul Roza.

Baru-baru ini, Leez dilihat menyertai program Muzikal Lawak Superstar (MLS) dan dia menganggap ia sebagai satu peluang untuk kembali rancak dalam bidang nyanyian selain berlakon.

"Sejak berkahwin, saya memutuskan untuk duduk rumah saja dan fokus kepada keluarga. Ada juga tawaran datang tetapi saya tolak disebabkan belum bersedia.

"Apabila ditawarkan menyertai MLS datang, saya sebenarnya ragu-ragu. Saya tidak pasti jika layak untuk melakukannya memandangkan ia membabitkan elemen lawak.

"Bagaimanapun, saya melihat platform ini sebenarnya peluang kedua buat saya untuk kembali merancakkan dunia seni. Lagipun, Aepul turut menyokong selain anak kami pun sudah besar," katanya menerusi laporan yang dipetik dari Harian Metro.

Tambah bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat itu, dia telah merancang untuk mengambil peluang kedua demi memperkukuhkan namanya dalam industri hiburan.

Dalam perkembangan terbaru, Leez memberitahu bahawa dia sudah mula membikin sebuah 'cover' lagu bersama Aepul sebagai persediaan pertama.

Di samping itu, Leez turut bergiat dalam bidang perniagaan tudung bawal di bawah jenamanya sendiri iaitu Safiyya By Leez Rosli.

(Sumber foto: Leez Rosli Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide