Buletin
Lisa Surihani teruja dapat bintangi telefilem "Geng"


Tarikh disiarkan: 12 Julai 2019


Lisa Surihani membawa watak suri rumah bernama Mariam dalam "Geng".

12 Jul – Pelakon Lisa Surihani mengakui berasa teruja apabila ditawarkan untuk berlakon dalam telefilem aksi komedi terbaru berjudul "Geng".

Telefilem itu menampilkan Lisa sebagai watak seorang suri rumah berpelajaran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektronik yang ingin mengubah kehidupannya ke arah yang lebih baik.

Menurut Lisa, melakonkan watak Mariam adalah pengalaman yang agak baru baginya dan dengan adanya 'plot twist', ia menjadikan watak itu lebih menarik.

Pelakon filem "Cicakman 3" itu berkata dia tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran berlakon dalam telefilem tersebut kerana tertarik dengan jalan ceritanya.


Ini merupakan kali pertama dia digandingkan bersama Sherry Alhadad dan Nadiya Nisaa. Selain itu, Lisa juga digandingkan dengan Alif Satar sebagai pasangan suami isteri dalam telefilem tersebut.

"Saya memang sudah lama mengagumi Sherry, Nadiya dan Alif. Jadi saya rasa ini merupakan satu peluang untuk saya bekerja sambil belajar di samping mereka.

"Sebenarnya jadual saya agak padat sehinggakan saya meminta pengurus saya untuk menyusun semula jadual kerana saya ingin terlibat dalam projek ini," ujarnya yang ditemui di sidang media "Geng" yang diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.


"Geng" menandakan kolaborasi lakonan pertama antara Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Lisa Surihani.

Tambahnya lagi, dia berasa seronok bekerja dengan semua pihak yang terlibat kerana mereka semua bersikap profesional dan memberi kerjasama yang baik.

Penggambaran telefilem arahan Umi Salwana Omar itu dijalankan selama 14 hari dan waktu bekerja adalah selama 12 jam sehari. Ia merupakan naskhah pertama terbitan Sherry Alhadad di bawah syarikat produksi Perempuan Productions.

"Geng" menceritakan tentang Isabella, seorang bekas banduan yang ingin meninggalkan dunia jenayah tetapi 'Geng Naga Kilat', yang diketuai oleh bekas teman lelakinya, Alex, memaksanya untuk membuat penghantaran dadah buat kali terakhir.

Isabella enggan berbuat demikian menyebabkan ibunya diculik. Demi mendapatkan ibunya semula dan menumpaskan operasi geng itu, dia mendapatkan bantuan dari dua rakan baiknya iaitu Anita dan Mariam.

Barisan pelakon yang turut menjayakan telefilem itu ialah Sherry Alhadad, Nadiya Nisaa, Alif Satar, Hisyam Hamid dan Fatimah Abu Bakar. Ia akan ditayangkan di saluran Astro First Eksklusif mulai 18 Julai ini.

Dalam perkembangan lain, Lisa mendedahkan bahawa dia bakal terlibat dengan sebuah telefilem terbaru tidak lama lagi namun sebarang butiran lanjut masih belum didedahkan buat masa ini.

Selain itu, Lisa turut berkata dia bakal kembali aktif dalam dunia lakonan jika ada rezeki serta diberikan tawaran baru pada masa akan datang.

(Sumber foto: Lisa Surihani Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Wheely (Melayu) (16 Ogos 2018)
Sinaran (Melayu) (26 November 2015)
Cicakman 3 (Melayu) (12 Mac 2015)