Buletin
Madame Tussauds Singapore beri penghormatan kepada Sridevi


Tarikh disiarkan: 16 Ogos 2019


Patung lilin Sridevi akan dipamerkan di zon Ultimate Film Star Experience (UFSE)
Madame Tussauds Singapore.

16 Ogos – Muzium patung lilin Madame Tussauds Singapore telah melancarkan pameran patung lilin Sridevi sebagai 'tribute' kepada mendiang aktres itu pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-56 pada 13 Ogos.

Pelancaran patung lilin itu telah dijalankan oleh suami kepada Sridevi iaitu pembikin filem Boney Kapoor bersama dua orang anaknya, Janhvi Kapoor dan Khushi Kapoor.

"Saya sangat terharu kerana Madame Tussauds memberi penghormatan kepada isteri saya, Sridevi Kapoor dan kerjanya dengan menghasilkan patung lilinnya.


"Saya dan keluarga akan menjadi sebahagian daripada pihak yang terlibat dalam pelancaran ini. Saya berharap pameran ini akan menjadi tempat untuk sesiapa yang ingin memberi tribute kepada dia," ujar Boney.

Patung lilin itu akan dipamerkan di set Mr. India di bahagian Ultimate Film Star Experience (UFSE) bersama satu memorial istimewa di mana para peminat boleh meninggalkan mesej 'tribute' kepada Sridevi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Madame Tussauds Singapore, Alex Ward berkata, Sridevi merupakan ikon di industri filem India dan zon Ultimate Film Star Experience tak akan lengkap tanpa patung lilin tersebut.

"Kami sangat berbesar hati kerana dapat melibatkan diri dalam meneruskan legasi Sridevi di Madame Tussauds Singapore dan teruja untuk mendedahkan patung lilin pertamanya bersama ahli keluarganya," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Pihak Madame Tussauds telah mengambil tempoh selama lima bulan untuk menyiapkan patung lilin itu dengan kerjasama ahli keluarga Sridevi untuk menghasilkan solekan, pakaian ikonik dan ekspresi mukanya.

Sridevi adalah salah seorang aktres yang paling berpengaruh di India di mana dia telah memberi inspirasi kepada ramai aktres lain serta para peminat di seluruh dunia.

Penulis: Nisa Irina