Buletin
Malaika Arora ingin terbit filem pendek


Tarikh disiarkan: 19 Julai 2019


Malaika Arora tidak lagi menjadi penerbit filem "Dabangg 3".

19 Jul – Aktres Malaika Arora mendedahkan perancangannya untuk menerbitkan sebuah filem pendek di bawah syarikat produksinya.

Bagaimanapun, dia sedang mengambil masa yang secukupnya sebelum meneruskan rancangannya bagi memastikan kandungan naskhah itu berkualiti.

"Sudah tentu saya ingin menghasilkan beberapa naskhah dengan isi kandungan yang bagus dalam syarikat saya.

"Berkemungkinan saya akan membikin sebuah filem pendek tetapi bukanlah dalam masa yang terdekat," katanya.

Teruja dengan perkara itu, dia kini mempunyai beberapa idea dalam tangan yang ingin ditampilkan dalam karya-karyanya yang akan datang.

Dalam pada itu, Malaika turut menafikan dakwaan yang mengatakan dia masih terlibat sebagai penerbit bagi filem aksi bersiri "Dabangg 3" dibintangi aktor hebat, Salman Khan.


"Saya tidak lagi terlibat dengan filem itu. Semua pihak sudah pun meneruskan projek itu dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada setiap orang yang terlibat," jelasnya menerusi laporan dari Times of India.

Baru-baru ini, Malaika telah dipilih untuk menggantikan tempat Kareena Kapoor sebagai juri bagi rancangan realiti televisyen "Dance India Dance".

Sebelum ini, Malaika pernah beberapa kali bertindak sebagai juri dalam rancangan realiti lain seperti "India's Got Talent", "Jhalak Dikhhla Jaa" dan "Nach Baliye".

Kareena Kapoor dilaporkan tidak dapat hadir sebagai juri kerana terlibat dengan penggambaran filem "Angrezi Medium" bersama Irrfan Khan di Amerika Syarikat.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: Malaika Arora Instagram)

Penulis: Nisa Irina