Buletin
Manav Kaul akui masih kurang pengetahuan mengenai badminton


Tarikh disiarkan: 19 November 2019


Manav Kaul telah mengurangkan berat badan supaya mendapat bentuk
badan seperti jurulatih badminton.

19 Nov – Bakal membintangi biopik Saina Nehwal sebagai jurulatih atlet badminton itu, pembikin filem dan aktor Manav Kaul mengakui dia masih mentah dan kurang berpengetahuan dalam sukan tersebut.

"Saya sering bermain badminton sewaktu kecil dan saya rasa saya dah cukup bagus. Namun selepas bertemu Eshan Naqvi, jurulatih saya untuk filem ini, saya sedar yang saya tak tahu langsung mengenai sukan ini.


"Kini saya perlu mempelajari dan berlatih dari awal," ujar Kaul yang berpuas hati kerana kemahirannya dalam badminton semakin meningkat setelah berlatih selama beberapa bulan sebagai persiapan biopik itu.

Bagaimanapun, menurut laporan dari Mumbai Mirror, Kaul mengakui staminanya semakin lemah dan berasa letih selepas hanya 10 minit bermain. Dia juga perlu mengurangkan berat badan bagi menepati kriteria seorang jurulatih badminton.

Untuk rekod, Kaul merupakan seorang atlet renang peringkat negara yang merangkul tempat ketiga dalam Kejohanan Renang Semua Universiti India.

Dalam pada itu, dia turut memuji kehebatan aktres Parineeti Chopra dalam menjayakan watak Saina dan mengagumi persembahan lakonannya, terutamanya menerusi filem "Ladies vs Ricky Bahl".

Sesi penggambaran dijangka akan bermula dalam jangka masa sebulan dari sekarang dan Kaul bakal menamatkan penggambaran babaknya pada penghujung tahun ini.

"Saina" yang menceritakan mengenai kisah kehidupan atlet badminton India Saina Nehwal merupakan filem terbitan Bhushan Kumar dan diarahkan oleh Amole Gupte. Ia bakal dirilis di pawagam pada 2020.

(Sumber foto: Manav Kaul Instagram)

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide