Buletin
Manjot Singh kesal segelintir pembikin filem bersikap stereotaip


Tarikh disiarkan: 12 Julai 2019


Manjot Singh dianggap hanya boleh berlakon watak komedi kerana berbangsa Sikh.

12 Jul – Aktor Manjot Singh meluahkan rasa kecewa apabila terdapat segelintir pembikin filem yang bersikap stereotaip terhadapnya kerana berketurunan Sikh.

Gara-gara perkara tersebut, dia turut ditolak untuk melakonkan watak serius kerana mereka menganggap kaum Sikh hanya mampu berlakon watak komedi.

"Saya ditolak kerana saya seorang Sikh. Mereka percaya bahawa jika seseorang itu memakai turban, dia tidak boleh berlakon watak serius dalam filem aksi atau drama.

"Sejujurnya saya berasa sangat kecewa kerana wujudnya persepsi yang mengatakan seseorang yang memakai turban hanya boleh buat orang ketawa," luah Manjot menerusi laporan dari IndiaToday.

Tambah Manjot lagi, sikap yang ditonjolkan oleh pembikin filem sebegitulah yang menyebabkan timbulnya stereotaip terhadap pelakon sepertinya.


Walaupun hanya pembikin filem yang boleh menghentikan stereotaip negatif tersebut, namun aktor itu berkata dia turut akan cuba untuk menamatkannya.

Manjot telah membuat debut dalam dunia Bollywood apabila membintangi filem "Oye Lucky! Lucky Oye!" arahan Dibakar Banerjee.

Terkini, dia semakin gembira dengan perkembangan terbarunya dalam bidang lakonan apabila dia membuat penampilan istimewa dalam filem "Student of the Year 2".

Selain itu, Manjot juga sedang menanti tayangan filem "Dream Girl" yang turut menampilkan Ayushmann Khurrana, Nushrat Bharucha dan Arbaaz Khan.

Filem komedi terbitan Ekta Kapoor itu akan ditayangkan di pawagam pada 13 September tahun ini.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: Manjot Singh Instagram)

Penulis: Nisa Irina