Buletin
Mawi bersyukur "Tiada Tajuk" masih ditayangkan


Tarikh disiarkan: 19 April 2019


Mawi enggan fikir soal kutipan filem selagi filem itu masih ditayangkan di pawagam.

19 Apr - Pengarah dan pelakon Mawi meluahkan rasa bersyukurnya apabila filem sulung arahannya "Tiada Tajuk" masih lagi ditayangkan di pawagam walaupun sudah masuk minggu ketiga.

"Saya tidak sangka filem ini mampu bertahan untuk tayangan minggu ketiga di pawagam tanah air termasuk Brunei. Saya sangat berterima kasih kepada semua penonton yang menyokong filem ini walaupun bergenre Islamik. Maklum balas diberikan amat baik.

"Rata-rata penonton yang berkongsi komen terhadap filem ini menerima mesej disampaikan iaitu berkisar realiti kehidupan manusia. Secara tidak langsung, teguran yang cuba disampaikan menerusi filem ini nampaknya berjaya diterima positif penonton," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani berkata, dia mengakui tidak mudah untuk bergelar sebagai pembikin filem, namun dia enggan memikirkan soal kutipan filem itu selagi ia masih ditayangkan di pawagam.


Walaupun "Tiada Tajuk" sedang ditayangkan, pengarah berusia 37 tahun ini berkata pihaknya masih lagi aktif mempromosikan filem ini termasuk mengadakan aktiviti menonton bersama peminat bertuah di pawagam terpilih.

Selain mengarah, Mawi turut berlakon dalam filem ini disamping tiga pelakon utama iaitu Hazama, Along Cham dan Joey Daud.

"Tiada Tajuk" merupakan sebuah naskhah kesinambungan daripada telefilem popular "Rock Sangkut" pada tahun 2014.

Sementara itu, Mawi berkata dia akan terus menghasilkan karya-karya yang mengandungi mesej untuk tontonan masyarakat dalam filem terbaru arahannya pada masa akan datang.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Tiada Tajuk (Melayu) (4 April 2019)