Buletin
Maya Karin lakar nama di Hollywood


Tarikh disiarkan: 16 Julai 2019


Maya Karin teruja dapat bekerja sambil bercuti di Hollywood, Los Angeles.

16 Jul – Pelakon terkenal Maya Karin meluahkan rasa teruja apabila berpeluang untuk membintangi sebuah filem Hollywood yang diberi judul "Alone".

Menerusi filem tersebut, Maya akan digandingkan dengan aktor Hollywood pujaan ramai iaitu Tyler Posey yang dikenali menerusi siri "Teen Wolf", serta Donald Sutherland. Bagaimanapun, mereka tidak berlakon dalam babak yang sama.

Pelakon filem "Jwanita" itu bekerja bersama kru produksi profesional di bawah arahan Johnny Martin yang juga bertindak sebagai penerbit filem tersebut.

Maya memberitahu bahawa dia berasa bertuah apabila eksekutif Hollywood Innovation Group (HIG) memberi tawaran kepadanya untuk menjalani uji bakat.

"Walaupun sebabak, berada dalam suasana baharu, dikelilingi kru profesional dan dapat bertukar idea dengan ramai karyawan di sini termasuk pengarah "Alone", menyemarakkan semangat.


"Kepercayaan mereka dianggap permulaan baik untuk saya terus mencari ruang di Hollywood. Apatah lagi, sepanjang minggu ini saya turut dipertemukan dengan beberapa produser dan pengarah lain," ujarnya menerusi laporan dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, penggambaran filem telah bermula di Illuminate Studios di Venture Blvd. Maya akan menggalas watak sebagai Dr. Zulaikha yang merupakan seorang saintis dari Malaysia.


Maya Karin anggap penglibatannya di Hollywood sebagai permulaan untuk
memperkenalkan Malaysia sebagai hub pelancongan.

Pelakon berusia 39 tahun itu kini berada di Los Angeles sejak minggu lalu di mana dia turut berpeluang untuk mencuci mata di sekitar bandar Hollywood serta bergambar di Hollywood Walk of Fame.

Berikutan pembabitannya dalam filem "Alone", Maya menyifatkan perkara itu sebagai inisiatif untuk memperkenalkan Malaysia sebagai lokasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

"Saya difahamkan, tahun depan HIG bakal menjalin usaha sama dengan produksi ini untuk filem aksi berlatarkan seni mempertahankan diri yang bakal ditayangkan di Amerika Syarikat.

"Boleh dikatakan, saya umpama duta kecil. Ini kerana ada dalam kalangan penerbit yang ditemui bertanya mengenai negara kita. Semuanya kerana sebelum ini, beberapa filem antarabangsa pernah menggunakan Malaysia sebagai lokasi latar," katanya.

Sementara itu, Maya juga akan terlibat dengan penggambaran sebuah program kapsul travelog selain beberapa urusan kerjaya yang lain di Amerika Syarikat sebelum pulang ke tanah air.

(Sumber foto: Maya Karin Instagram)

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HEREI

Filem Berkaitan:
Munafik 2 (Melayu) (30 Ogos 2018)
Jwanita (Melayu) (24 September 2015)