"Mental Hai Kya" tidak sentuh isu sensitif kesihatan mental | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Mental Hai Kya" tidak sentuh isu sensitif kesihatan mental

Penulis: Nisa Irina


"Mental Hai Kya" menampilkan gandingan Rajkummar Rao dan Kangana Ranaut.

20 Jun – Penerbit filem "Mental Hai Kya", Ekta Kapoor menegaskan bahawa filem itu tidak menyentuh isu sensitif kesihatan mental dan judul filem itu tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Ekta telah menafikan spekulasi tersebut menerusi laman Twitter dan menyangkal dakwaan bahawa filem itu tidak menitik berat akan kesihatan mental.

"Filem ini sama sekali tidak memandang serong terhadap golongan pesakit mental dan judul filem kami tidak bermaksud untuk mengabaikan sentimen orang lain.

"Kami menganggap perkara mengenai isu kesihatan mental ini sesuatu yang sensitif," jelas Ekta menerusi laporan yang dipetik dari TheIndianExpress.

Mengetengahkan genre thriller fiksyen, filem yang diterajui oleh Kangana Ranaut dan Rajkummar Rao itu menggalakkan penonton untuk berasa bangga dengan keunikan diri sendiri serta mengangkat keperibadian sendiri.

Pada April lalu, filem itu berdepan dengan kontroversi apabila pakar psikiatri dan kesihatan mental beranggapan yang filem itu seperti menghina mereka yang menghidap sakit mental. Mereka turut meminta pihak produksi untuk mengubah judul filem tersebut.

Oleh sebab yang sama, majlis pelancaran treler filem itu yang sepatutnya dilancarkan pada 19 Jun telah dibatalkan. Para penerbit filem juga sedang menanti kelulusan dari Lembaga Penapis Filem.

Sebelum ini, Rajkummar dan Kangana pernah berganding dalam filem komedi berjudul "Queen" arahan Vikas Bahl pada 2014.

"Mental Hai Kya" bakal ditayangkan di layar lebar pada 26 Julai depan.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: Times of India)

Cinema Online, 20 Jun 2019

Waktu Tayangan