Buletin
Mimi Lana puas hati dengan lakonannya dalam filem debut "Pusaka"


Tarikh disiarkan: 28 September 2019

Mimi Lana teringin untuk berlakon dengan Bront Palarae
Mimi Lana teringin untuk berlakon dengan Bront Palarae

28 Sep – Teruja menantikan tayangan filem debutnya, "Pusaka", pelakon Mimi Lana memberitahu bahawa dia telah memberikan sehabis baik dalam lakonannya menerusi filem arahan Razaiyam Rashid tersebut.

Bagi menjayakan wataknya sebagai Nur Ishak, Mimi berkata salah satu cabaran yang dihadapinya adalah dia perlu menukar intonasi suaranya menjadi lebih dalam dan garau, namun berasa puas hati kerana dapat memenuhi permintaan pengarah.

"Apabila pengarah kata suara saya tidak sesuai dengan watak, saya jadi buntu kerana tidak tahu macam mana untuk menukar suara saya, tetapi dengan bantuan guru vokal, setiap hari saya berlatih di set penggambaran.


"Jadi apabila mula penggambaran, secara tidak langsung suara saya berubah. Hampir sebulan juga suara saya garau kerana sudah terbiasa menggunakan suara itu," katanya yang ditemui di majlis pelancaran filem "Pusaka" di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur pada Khamis.

Selain itu, Mimi juga berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 6kg dengan hanya mengamalkan diet seimbang bagi mengurangkan penggunaan solekan dan ingin penampilannya kelihatan lebih asli dalam filem tersebut.

"Sepanjang penggambaran itu saya mengamalkan diet dan mengawal pemakanan saya. Metabolisme badan saya juga agak tinggi jadi agak mudah untuk saya menurunkan berat sebanyak 6kg," katanya.


Mimi Lana berganding dengan Syafiq Kyle buat pertama kali dalam filem "Pusaka".

Disoal mengenai gandingnya bersama Syafiq Kyle buat pertama kali dalam filem, Mimi mendedahkan Syafiq banyak memberikan nasihat berdasarkan pengalamannya dan perkara itu banyak membantunya untuk meningkatkan kualiti lakonan.

"Sebelum ini saya pernah bekerja dengan Syafiq menerusi drama, jadi ia membuatkan kerja kami lebih mudah kerana kami sudah lama mengenali antara satu sama lain.

"Kami banyak bereksperimen, berkongi pengalaman serta mencuba benda baru di set penggambaran. Saya pun gembira kerana Syafiq dapat bekerjasama dengan Razaisyam," katanya yang sudah empat tahun menjalinkan hubungan dengan Syafiq.

Dalam pada itu, Mimi turut meluahkan keinginannya untuk bekerjasama dengan pelakon lelaki tersohor tanah air iaitu Bront Palarae kerana mengagumi bakatnya. Dia juga teringin untuk mencuba watak wanita psiko dan berlakon dalam filem aksi.

Filem "Pusaka" turut menampilkan pelakon lain seperti Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Draman Muhammad, Aloy Paradox, Yuna Rahim dan ramai lagi.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, filem itu bakal menggegarkan pawagam bermula 31 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Pusaka (Melayu) (31 Oktober 2019)





Ticket Pricing Guide