Buletin
Nadiah Hamzah bawa kelainan dalam filem debut "Motif"


Tarikh disiarkan: 28 Ogos 2019


Pengarah Nadiah Hamzah bersama pihak syarikat rakaman Aries Music dan penyanyi
Sufian Suhaimi dan Amira Othman hadir ke majlis pelancaran OST Filem "Motif".

28 Ogos – Buat julung kali mengarahkan filem cereka, pengarah Nadiah Hamzah mendedahkan bahawa filemnya berjudul "Motif" membawa kelainan apabila menggabungkan elemen thriller misteri dan kisah poligami.

"Saya mendapat inspirasi daripada beberapa buah siri televisyen Scandinavia berunsur pembunuhan yang saya pernah tonton sebelum ini.

"Selain itu, penerbit kami mempunyai bapa saudara yang mempunyai perniagaan pakej perkahwinan di Songkhla, Thailand. Jadi dari situ kami rasa filem ini akan lebih menarik untuk ditonton jika ia diselitkan dengan kisah poligami," ujarnya yang ditemui di majlis pelancaran runut bunyi filem "Motif" di Red Box Plus, Pavilion Kuala Lumpur semalam.

Lebih menarik lagi, filem "Motif" menampilkan gandingan mantap dua orang pelakon tersohor tanah air iaitu Datuk Rosyam Nor dan Sharifah Amani buat pertama kalinya di layar lebar.

"Kami rasa gabungan kedua-dua pelakon hebat ini sangat menarik dan sekaligus ia dapat membawa satu kelainan dalam industri filem tanah air kita," tambah Nadiah yang merupakan graduan sarjana dari Universiti New York dalam bidang perfileman dan televisyen.


Sebelumnya, Nadiah dikenali dengan filem-filem pendek arahannya seperti "Hujan Panas" dan "Sub Rosa" serta sebuah telefilem berjudul "Kopi Dan Dia".

Runut bunyi filem yang diberi judul "Takkan Merubah" ciptaan Farouk Roman itu menampilkan gandingan suara penyanyi Sufian Suhaimi dan Amira Othman buat pertama kali.

Menurut penulis lagu Amylea Azizan, dia berasa teruja dapat menghasilkan sebuah lagu yang diangkat sebagai runut bunyi bagi sebuah naskhah yang hebat serta dapat bekerjasama dengan dua penyanyi terkenal.

Filem "Motif" telah berpeluang untuk membuat tayangan perdana di Festival Filem Udine Far East (FEFF) ke-21 yang berlangsung di Udine, Itali pada 26 April hingga 4 Mei lalu.

"Motif" mengisahkan seorang remaja bernama Anna yang hilang selepas pergi ke sebuah hotel lama di Tanah Merah. Detektif Rizal telah ditugaskan untuk menyiasat kes kehilangan itu dan dibantu oleh Detektif Dewi.

Diterbitkan oleh Wayangworks, filem "Motif" bakal menjengah pawagam bermula 26 September ini.

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide