Buletin
Nad Zainal elak berlakon naskhah seram


Tarikh disiarkan: 25 Januari 2019


Nad Zainal akan terima tawaran naskhah seram sekiranya ia membantu
perkembangan kerjaya seninya.

25 Jan - Pelakon Nad Zainal memberitahu dia akan cuba mengelak daripada menerima tawaran untuk berlakon dalam naskhah bergenre seram, kerana takut walaupun dia merupakan seorang peminat genre seram.

"Saya gemar menonton filem hantu, namun tidak berani untuk berlakon dalam naskhah bercorak seram. Alhamdulillah, sehingga kini saya belum pernah berdepan sebarang pengalaman menakutkan. Cuma saya pernah mendengar pengalaman orang lain ketika penggambaran filem "Kami Histeria" beberapa tahun lalu.

"Kalau boleh, memang saya cuba elakkan diri daripada naskhah sebegitu kerana mempunyai anak kecil. Saya tidak mahu sebarang anasir negatif menggangu kami," ujarnya yang dipetik dari BH Online.


Pelakon berusia 28 tahun itu bagaimanapun berkata dia mungkin akan pertimbangkan tawaran naskhah seram sekiranya ia mampu membantu perkembangan kerjaya seninya.

Dalam pada itu, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, antara faktor lain yang membuatkannya tidak mahu berlakon dalam naskhah seram adalah kerana ia memakan masa yang agak panjang selain penggambaran dilakukan pada waktu malam.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan terbarunya, Nad memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran dua buah telefilem berjudul "Terima Kasih Ibu" dan "Sehelai Selendang Putih".

Selain itu, dia juga akan masuk ke set penggambaran siri mini tidak lama lagi berjudul "Geng Mak-Mak" bersama Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.

(Sumber foto: Nad Zainal Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Kami Histeria (Melayu) (6 Februari 2014)
Malay Regiment (Melayu) (31 Ogos 2017)





Ticket Pricing Guide