Buletin
Nad Zainal tak selesa bawa watak romantik


Tarikh disiarkan: 30 Mei 2019


Nad Zainal bakal muncul dengan telefilem terbarunya dengan membawa
watak sebagai penagih dadah.

30 Mei – Pelakon Nad Zainal memberitahu dia kini berasa tidak selesa sekiranya perlu membawa watak romantik sejak bergelar sebagai isteri dan ibu kerana segan lakonannya ditonton oleh suaminya sendiri.

"Suami tidak menghalang, cuma saya lebih selesa berlakon dalam drama atau telefilem yang tidak mempunyai hero. Tetapi, saya tidak terus menolak tawaran sebegitu.

"Sesekali, saya akan menerima watak romantik sekiranya naskhah yang ditawarkan menarik. Contohnya, saya baru selesai bergandingan dengan Fikry Ibrahim dalam telefilem "Hero Tas Tangan". Segan sebenarnya berlakon dengan Fikry kerana dia sangat menjaga keperibadian. Bagaimanapun, kami tiada masalah digandingkan bersama," ujarnya yang dipetik dari BH Online.


Pelakon "Kami Histeria" ini juga berkata dia tidak pernah meletak sebarang syarat tidak mahu bersentuhan dengan pelakon lelaki ketika penggambaran, namun sebagai seorang pelakon yang sudah bersuami dia perlu tahu batasan dan tidak akan keterlaluan.

Dalam pada itu, impian pelakon berusia 29 tahun ini untuk membawa watak hitam sebagai penagih dadah akhirnya tercapai apabila dia ditawarkan watak itu dalam telefilem arahan Heykal Hanafiah.

Malah Nad juga sanggup membatalkan niatnya yang mahu berehat sepanjang bulan Ramadan ini demi menjayakan telefilem itu.

Sementara itu, selain berlakon dia juga sibuk menguruskan perniagaan miliknya iaitu perniagaan kasut dan produk melangsingkan badan.

(Sumber foto: Nad Zainal Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Kami Histeria (Melayu) (6 Februari 2014)





Ticket Pricing Guide