Buletin
Nadzmi Adhwa harap "Anak Perjanjian Syaitan" bantu kembangkan kerjaya seninya


Tarikh disiarkan: 19 Oktober 2019

Nazdmi Adhwa akui berdepan gangguan aneh ketika menjalani penggambaran.
Nazdmi Adhwa akui berdepan gangguan aneh ketika menjalani penggambaran.

19 Oct – Pelakon yang sedang meningkat naik Nadzmi Adhwa tampil dengan filem kedua yang turut menandakan filem seram debutnya berjudul "Anak Perjanjian Syaitan" arahan Helmi Yusof.

Menurut Nadzmi, antara faktor yang menyebabkan dia menerima tawaran filem itu adalah kerana tertarik dengan jalan cerita yang dipaparkan serta tidak mahu melepaskan peluang berlakon watak utama.

"Sebelum ini saya tidak pernah berlakon lagi dalam filem bergenre seram dan ini merupakan satu pengalaman yang cukup menarik untuk saya melibatkan diri dalam filem "Anak Perjanjian Syaitan".

"Dalam filem ini, karakter saya dilihat lebih matang kerana menjayakan watak seorang guru dan bakal bapa yang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung," katanya.

Nadzmi ditemui di majlis sidang media malam gala tayangan perdana filem "Anak Perjanjian Syaitan" yang berlangsung di mmCineplexes eCurve, Damansara, pada Rabu.


Biarpun berdepan kekangan masa untuk membuat persiapan bagi penggambaran selama 18 hari itu, Nadzmi bersyukur kerana dia banyak menerima tunjuk ajar daripada barisan pelakon lain sekaligus memudahkan mereka untuk mendapatkan keserasian.

Selain itu, pelakon yang dulunya terkenal sebagai pengacara program "Jalan Jalan Makan Angin" itu berkata, dia telah melakukan sehabis baik bagi filem "Anak Perjanjian Syaitan" serta berharap ia dapat membantu mempertingkatkan prestasinya sebagai seorang anak seni.

Berkongsi pengalamannya berlakon filem seram, Nadzmi mengakui dia tidak dapat lari dari mengalami gangguan-gangguan aneh yang berlaku sepanjang penggambaran sehinggakan pengarah perlu meminta bantuan seorang ustaz.

"Gangguan-gangguan kecil yang berlaku di set adalah seperti terdengar suara halus, nampak kelibat terbang serta rasa seperti ada benda yang menumpang di belakang kerana kami memang dimaklumkan bahawa rumah itu keras.

"Walau bagaimanapun, saya selalu beringat supaya menjaga etika ketika berada di kawasan itu dan Alhamdulillah proses penggambaran berjalan dengan lancar," ujarnya lagi.

Beralih ke perkembangan lain, Nadzmi akan terlibat dengan program "Idola Cilik" terbitan RTM dan bakal membintangi sebuah telefilem terbaru yang masih belum diberi judul terbitan TV3.

Dia juga akan kembali ke layar perak dengan sebuah filem seram komedi berjudul "Busut Bonang" arahan Khalid Nadzri yang akan ditayangkan pada bulan Disember depan.

Nadzmi, yang baru mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ardell Aryana, turut berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan akan mengeluarkan sebuah produk kesihatannya sendiri tidak lama lagi.

"Anak Perjanjian Syaitan" turut dibintangi oleh barisan pelakon lain seperti Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Shahrulnizam Noor dan Azlan Komeng. Ia bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 24 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide