Buletin
Namron bakal muncul dengan dua filem terbaru


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Namron sedang mencari pelakon yang sesuai untuk jayakan watak Mat Derih.

12 Jun – Selepas mencipta kejayaan besar dalam dan luar negara menerusi filem "One Two Jaga", pengarahnya iaitu Namron tidak mengambil masa lama untuk kembali ke set penggambaran apabila dia kini sedang sibuk menghasilkan dua filem terbarunya berjudul "Master Picisan" dan "Mat Derih Kola Perlih".

Menurut Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, kedua-dua filem terbarunya itu akan berkisarkan mengenai isu gengsterism dan budaya politik tempatan.

"Filem "Master Picisan" sudah selesai penggambaran dan kini dalam proses suntingan. "Mat Derih Kola Perlih" pula berkonsepkan biografi menerusi penciptaan watak fiksyen Mat Derih.


"Saya akan menyampaikan peralihan kehidupan Mat Derih daripada seorang gengster yang akhirnya menjadi ahli politik," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Pengarah berusia 50 tahun itu bagaimanapun berkata dia masih lagi belum menemui pelakon yang sesuai untuk membawa watak sebagai Mat Derih.

Ini kerana watak Mat Derih memerlukan seorang pelakon yang bukan sahaja perlu mempunyai ilmu seni bela diri tetapi juga perlu fasih bertutur loghat Kuala Perlis.

Terdahulu, Namron telah mengharumkan nama negara apabila dia telah berjaya merangkul trofi Pengarah Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) di Sarawak, April lalu menerusi filem "One Two Jaga".

(Sumber foto: Utusan Online)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
One Two Jaga (Melayu) (6 September 2018)
Redha (KKIFF) (Melayu) (22 Julai 2017)