Buletin
Namron olah semula mantera bomoh dalam "Dendam Pontianak"


Tarikh disiarkan: 19 Ogos 2019


Namron bawa kelainan terhadap watak bomoh yang digalas dalam "Dendam Pontianak".

19 Ogos – Walaupun ini bukan kali pertama menjayakan watak bomoh, namun pelakon Namron memberitahu dia cuba membawa kelainan terhadap wataknya dalam filem seram baru "Dendam Pontianak".

Menurut Namron, sebagai pelakon, dia akan cuba sampaikan apa yang dimahukan oleh pengarah, iaitu watak bomoh pengamal ilmu hitam yang penuh misteri dan mengundang tanda tanya kepada para penonton.

"Untuk mewujudkan suasana misteri itu, saya perlu menukarkan nada suara saya menjadi lebih dalam dan lebih menakutkan. "Kalau diikutkan, watak bomoh ini bukanlah sesuatu yang baru bagi saya, tetapi perkara itulah yang menjadi cabaran kerana saya perlu membezakan watak lama dan baru supaya tidak kelihatan sama," jelasnya yang ditemui di majlis sidang media filem "Dendam Pontianak" di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur baru-baru ini.


Selain itu, Namron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata, dia terpaksa mengarang serta mengolah semula jampi mantera yang digunakan dalam filem memandangkan ia tidak ada dalam skrip.

"Saya elakkan mengguna mantera-mantera sebenar yang boleh didapati dari kitab-kitab lama kerana ia boleh mendatangkan bahaya dan memesongkan akidah.

"Jadi saya olah sendiri dan sampaikan dalam cara tersendiri supaya penonton tak faham apa yang saya sebut dan mereka tidak pertikaikan bacaan mantera itu," tambahnya lagi.


Namron bersama barisan pelakon utama "Dendam Pontianak" yang hadir di sidang media
filem tersebut di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Selain Namron, filem arahan Glen Goei dan Gavin Yap itu turut menampilkan pelakon lain seperti Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Tony Eusoff, Nadiah M. Din dan Nadia Aqilah.

Berlatarbelakangkan tahun 1965, pasangan Khalid dan Siti membuat persiapan bagi perkahwinan mereka. Tidak lama selepas itu, penduduk kampung mula diganggu roh Pontianak yang kembali untuk membalas dendam. Kejadian itu menyebabkan Khalid mengaku dia telah membunuh seorang gadis yang mengandungkan anaknya suatu masa dahulu.

"Dendam Pontianak" bakal menghantui penonton di Malaysia bermula 12 September sementara di Singapura pula pada 29 Ogos ini, dengan judul "Revenge of the Pontianak".

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Dendam Pontianak (Melayu) (12 September 2019)
Warkah (Melayu) (15 Ogos 2019)
Suatu Ketika (Melayu) (12 September 2019)





Ticket Pricing Guide